GOMBAK - Dua suspek yang terlibat dalam cubaan pecah rumah di Sri Gombak Sabtu lalu diberkas polis secara berasingan semalam dan hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, suspek berusia 24 dan 27 tahun itu ditahan di kawasan Gombak dan Batu Caves
Menurutnya, suspek warga tempatan dan Thailand itu terlibat lima kes samun pada hari sama.
"Polis turut merampas barang kemas, televisyen, baju, kasut dan motosikal Ex5 yang dilaporkan hilang di Selayang.
"Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah itu ditahan reman selama enam hari sehingga 20 September ini," katanya.
Semalam tular dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melibatkan suspek yang cuba memecah masuk sebuah rumah dan menyamun sebuah restoran di Sri Gombak.
Arsad berkata, polis menerima laporan pengadu yang melihat suspek cuba memecah masuk rumahnya dengan menendang dan memecahkan cermin pintu utama melalui rakaman CCTV pada jam 3.55 pagi.
Katanya, mangsa menjerit menyebabkan kedua-dua lelaki tersebut melarikan diri.