KUALA LUMPUR - Impian seorang kanak-kanak berusia 7 tahun, Ahmad Wazif Mohd Amir yang bercita-cita menjadi jurutera kereta api ditunaikan Prasarana Malaysia Berhad, Make-A-Wish Malaysia dan sukarelawan dari Sapura Energy Berhad semalam.
Karakter anak kecil itu yang pemalu serta-merta berubah kepada riang dan teruja apabila diberi peluang mengemudi tren Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel aliran Ampang di sekitar Kuala Lumpur.
Insan yang paling gembira melihat senyuman terukir indah pada wajah anak kedua daripada tiga beradik itu tentulah ibu dan bapanya, Sazrina Ramli, 39 dan Mohd Amir Mohd Azir, 37.
"Saya gembira untuk dia kerana apa yang dia nak direalisasikan dalam bentuk yang kami tidak jangka. Kami fikirkan program biasa sahaja tapi rupanya ada banyak program diatur untuknya.
"Wazif memang nampak sangat gembira. Kami lepaskan dia kepada penganjur, biarkan dia nikmati program ini. Mulanya dia nampak malu tapi selepas itu dia berani, teruja dan ikut sahaja program diatur.
"Selalu dia memang nak ‘melekat’ saja dengan kami tapi hari ini dia tidak begitu. Jelas terpancar kegembiraan pada raut wajahnya,” katanya ketika ditemui di sini ketika menyertai program ‘Wazif’s Wish Day’ di Kuala Lumpur Sentral.
Sebagai ibu, Sazrina berkata, dia rasa terharu dengan inisiatif penganjur yang menunaikan impian anaknya yang memang sangat berminat dengan tren malah bercita-cita untuk menjadi jurutera tren.
"Biasanya dia tengok sendiri video dalam YouTube dan ceritakan kepada kami apa yang dia tengok. Macam-macam perkara dia tahu termasuklah langkah-langkah korek terowong untuk projek Transit Aliran Massa (MRT).
"Dia tunjukkan minat kepada tren sejak berusia tiga tahun. Apa yang dia tengok, dia akan lukis dan tunjuk kepada kami. Bila dapat peluang sebegini, dia memang nampak sangat gembira.
"Sebagai ibu dan bapa, kami doakan agar dia dapat melepasi fasa-fasa kritikal rawatannya. Kita mendoakan yang terbaik untuknya dan nak buat dia gembira. Bila dia gembira, dia cepat sihat,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Make-A-Wish Malaysia, Irene Tan berkata, pihaknya merencana pelbagai program buat Ahmad Wazif dan hari ini, anak kecil itu akan dibawa ke depot kereta api untuk melihat sesuatu yang baru buatnya.
"Hari ini dia menaiki semua tren, MRT, LRT dan monorel. Dia nampak sangat gembira. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong mami dalam menunaikan impian Ahmad Wazif ini.
"Kami bertemu pada Mei lalu selepas diperkenalkan oleh seorang doktor. Sebagaimana adik Wazif gembira, kami juga gembira dapat menunaikan impiannya,” katanya,
Menurutnya, mereka telah menunaikan 557 impian semenjak mula bergerak di Malaysia pada 10 tahun lepas dan mengharapkan lebih banyak kesedaran dan sokongan dapat dipupuk selepas ini.