Hilang kerja bukan hilang segala-galanya

Iklan
Gambar hiasan

LANGIT tidak selalu cerah. Begitulah kata-kata yang biasa dengar apabila ditimpa sesuatu dugaan atau kekecewaan dalam kehidupan seharian yang kita lalui.

Ia sudah menjadi lumrah. Ada hari kita rasa tenang kerana apa yang kita lakukan semuanya berjalan lancar. Tetapi ada juga hari yang kita diselubungi rasa resah dan bimbang kerana ditimpa pelbagai dugaan.

Iklan
Iklan

Jadi, untuk menghadapi keadaan hidup bagaikan roda yang ada turun naik ini, selain perlu berdoa terpulanglah juga kekentalan jiwa dan semangat kita. Kata orang, hati kita jangan lembut macam tisu.

Dalam sebulan dua ini, ada rakan dan kenalan diberitakan telah hilang kerja dek dipecat oleh syarikat yang mengecilkan operasi akibat tekanan ekonomi.

Iklan

Memang sedih apabila mendapat tahu nasib rakan-rakan itu yang kebanyakan sudah berumah tangga dan mempunyai anak-anak yang masih kecil.

Rezeki mereka untuk membeli susu, menyara persekolahan anak dan mencari nafkah untuk sekeluarga telah hilang dan tertutup. Tetapi hidup perlu diteruskan, mahu tak mahu kena dapatkan kerja juga.

Iklan

Lihatlah ramai anak-anak muda kita tidak sesekali menyerah pada nasib. Walaupun ada segulung ijazah, ketika tidak ada kerja ditawarkan kepada mereka, mereka sanggup lakukan apa sahaja kerja asalkan halal dan tidak langgar undang-undang.

Ijazah sudah tidak penting lagi mereka. Mereka bekerja sebagai penghantar makanan, pemandu Grab, penjual burger, penjaja pasar malam dan paling kerap kita dengar menjual produk dalam talian.

Semua kerja itu boleh memberikan rezeki, walaupun mungkin penat dan tidak selumayan berbanding dengan gaji di pejabat.

Hilang kerja bukan hilang segala-galanya. Melapangkan dada dan berfikiran positif bahawa masih ada sinar di hujung terowong. Rezeki ada di mana-mana, selagi kita berusaha selagi itulah memang menjadi rezeki kita di situ.