Rumah baharu Bersatu belum tentu kukuh: Ahmad

Iklan
Ahmad (tiga, kanan) sewaktu mengadakan lawatan ke NB Poultry Kampung Parit Baru.

PONTIAN -"Rumah baharu tidak semestinya kukuh,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ahmad Maslan mengulas kenyataan mengenai Bersatu merupakan rumah baharu orang Melayu.

Ahli Parlimen Pontian ini seterusnya membuat perbandingan antara rumah baharu Bersatu dengan rumah lama iaitu Umno yang membuat lebih banyak kerusi parlimen.

Iklan
Iklan

"Umno mencapai kemenangan 54 kerusi pada PRU14 berbanding 13 kerusi yang dimenangi Bersatu pada PRU14 lalu. Kiraan ini bukan selepas ada ahli parlimen lompat parti.

"Meskipun Umno dianggap sebagai rumah lama, tetapi parti mempunyai keahlian lebih 3 juta berbanding Bersatu yang mempunyai jumlah ahli yang kecil pada ketika ini,” katanya.

Iklan

Jelasnya, kekalahan Umno pada PRU14 tidak akan menjadi penyebab Umno akan musnah sebagaimana didakwa banyak pihak termasuk oleh Tun Mahathir Mohamad sendiri.

"Kekalahan Umno beri pengajaran untuk kami bermuhasabah dan rakyat boleh menilai kerajaan mana yang lebih baik setelah PH memerintah selama lapan bulan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, kehadiran bekas ahli Umno di dalam Bersatu juga dilihat seperti tidak dialu-alukan kerana Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, meletakkan syarat kepada mereka.

Syarat tersebut tidak lain iaitu bekas pemimpin Umno yang menyertai Bersatu tidak boleh memegang sebarang jawatan sehingga PRU15.

"Saya nasihatkan mereka ini berhati-hati sebab tidak dialukan dalam Bersatu.

"Pepatah ada mengatakan jika ada rumah baharu jangan lupa rumah lama yang sekian lama menjadi pelindung kepada hujan dan panas, walaupun kini dianggap tidak sesuai didiami,” katanya.

Ditanya mengenai kerjasama Umno dengan Pas, beliau memberitahu, kerjasama akan terus dilakukan berkaitan isu-isu melibatkan Melayu, Bumiputera, Agama Islam.

Jelasnya, walaupun ada yang memandang rendah kerjasama tersebut, namun beliau yakin ia adalah usaha yang sangat baik malah sudah menunjukkan perkembangan positif sewaktu perhimpunan aman Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang lalu.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke kilang penyembelihan dan pemprosesan ayam NB Poultry Sdn Bhd, di Parit Baru di sini.