Kerajaan negeri komited bantu penoreh getah

Iklan
Azman (tengah) memotong kek dalam majlis tersebut.

BALING - Kedah akan membantu pekebun kecil dan penoreh keluar daripada kepompong kemiskinan melalui hasil pendapatan ekonomi tambahan pada tahun 2019.

Exco Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Asas Tani, Azman Nasrudin berkata, kerajaan negeri akan membantu golongan penoreh menjana hasil daripada sumber lain tanpa bergantung sepenuhnya sumber getah skrap.

Iklan
Iklan

Menurutnya, golongan berkenaan perlu mempunyai alternatif lain dan kesungguhan untuk keluar daripada cara lama.

"Dengan langkah kerajaan menaikkan harga lantai kepada RM2.50 sekurang-kurangnya boleh melegakan sedikit penoreh getah. Tetapi dalam masa sama, itu tidak mencukupi.

Iklan

"Justeru, kita mahu membantu supaya ada aktiviti-aktiviti ekonomi lain. Apa sahaja bidang mereka minat berkaitan industri asas tani," katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Tambahnya, kerajaan negeri akan dapatkan sokongan dana daripada kementerian terlibat bagi menjayakan program berkenaan.

Iklan

Dalam pada itu katanya, Kedah turut merangka pelan pembangunan pada 2019 bagi melahirkan ramai usahawan yang berjaya khususnya dalam bidang ternakan dan pertanian.

Menurutnya, kerajaan negeri akan menganjurkan kursus integrasi bagi memberi pendedahan kepada golongan muda.

"Kita akan panggil usahawan-usahawan yang berjaya dan anak-anak muda yang berminat dalam bidang pertanian dan penternakan untuk kita beri pendedahan dan motivasi.

"Sekurang-kurangnya kita akan anjur tiga atau empat kursus integrasi tahun depan," katanya.

Beliau berkata, dalam masa sama kerajaan negeri akan mendapatkan bantuan dana supaya usahawan-usahawan muda dapat dibantu.

"Saya bersama exco melibatkan usahawan dan pertanian akan mendapatkan bantuan dana supaya kita dapat bantu ramai usahawan muda dalam bidang pertanian, penternakan dan sebagainya.

"Dalam tempoh empat tahun ini sampai habis penggal, kita sasarkan sekurang-kurangnya 100 usahawan dapat dilahirkan," katanya.

Terdahulu, Azman menghadiri majlis makan malam sumbangsih ulang tahun ke 12 pasukan bomba sukarela Lunas.