HONG KONG - Tiga cedera apabila sebuah kereta api MTR di Hong Kong tergelincir dari landasan hingga menjejaskan operasi di dua laluan ketika waktu puncak dalam kejadian hari ini.
Pengendali kereta api MTR memaklumkan kejadian luar biasa itu berlaku berhampiran stesen Hung Hom yang merupakan persimpangan sibuk yang menyediakan perkhidmatan ke Tanah Besar China.
Iklan
Iklan
"Insiden itu menyebabkan operasi di East Rail Line terpaksa digantung sementara manakala West Rail Line mengalami kelewatan," ujarnya.
Gambar di lokasi kejadian menunjukkan tiga gerabak tergelincir dan berada dalam keadaan zig-zag di landasan tersebut.
Saksi mendakwa penumpang terpaksa keluar melalui pintu yang telah pecah dan melintasi landasan di East Rail Line itu untuk menyelamatkan diri.
Sementara itu, stesen berhampiran dilaporkan turut sesak dengan beberapa kereta api yang tidak dapat bergerak untuk meneruskan operasi.
Sebelum ini, protes antikerajaan yang melanda hab kewangan Asia itu sejak beberapa bulan lalu turut menjadi sasaran vandalisme. - Agensi