PASIR GUDANG - Tiga suspek dipercayai terlibat kes samun dan bunuh di Kangkar Tebrau serta Taman Molek ditembak polis ketika cuba melarikan diri di sebuah jalan di Pasir Gudang, 12 tengah malam tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din berkata, tindakan salah seorang suspek mengacukan pistol memaksa pihak polis melepaskan tembakan terhadap dua suspek lelaki berusia 37 dan 35 tahun pada bahagian kaki.
Menurutnya, suspek yang mengacukan pistol turut dikenali sebagai 'trigger happy' kerana pernah melepaskan tembakan secara rambang sebelum ini.
"Seorang lagi suspek melarikan diri, namun berjaya ditahan di sebuah rumah di Plentong jam 12.10 tengah malam tadi.
"Seorang wanita berusia 22 tahun yang berada di dalam kereta dipercayai teman wanita salah seorang suspek turut ditahan dan kita percaya dia tidak terlibat secara langsung," katanya.
Kamarudin berkata, sebelumnya, suspek bertindak menghimpit dan melanggar kenderaan polis dengan kereta Myvi yang disamun ketika dihampiri pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
"Pegawai JSJ berjaya kesan kenderaan dinaiki tiga suspek di kawasan Pasir Gudang dan sebaik dihampiri, suspek bertindak ganas meskipun polis telah perkenalkan diri tetapi suspek tetap melanggar kereta polis.
"Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta suspek untuk hentikan kereta dan akibat tembakan itu, kereta suspek terbabas.
"Salah seorang suspek mengacukan pistol ke arah polis dan polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri," katanya.
Katanya, polis masih menyiasat sumber revolver digunakan suspek yang dirampas bersama sebutir peluru hidup.
Sementara itu katanya, penahanan tersebut sekali gus berjaya menyelesaikan lima lagi kes lampau di sekitar Johor termasuk dua kes samun dipercayai dilakukan suspek sama baru-baru ini.
Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang lelaki berusia 30-an disamun ketika mengeluarkan wang di sebuah bank di Taman Molek dan suspek membawa lari wang tunai RM150 serta kereta Myvi berwarna hitam miliknya.
Pada Jumaat lepas, seorang warga emas berusia 75 tahun maut dengan kesan tembakan pada bahagian kepala dan seorang remaja berusia 17 tahun cedera pada kaki selepas terkena tembakan rambang suspek dalam kes samun di Jalan Tun Fatimah, Kangkar Tebrau.