BIARPUN sibuk dengan dunia lakonan dan rutin sehariannya sebagai pelajar, Riz Ismail mengakui dia masih meneruskan tugasnya sebagai penceramah bebas seperti biasa demi perkongsian ilmu dan dakwah.
Kata Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 24, di sebalik kesibukan yang dilaluinya itu, dia akan memastikan untuk memenuhi sekurang-kurangnya satu jemputan ceramah pada setiap bulan.
"Alhamdulillah walaupun saya kini dah bergiat aktif dalam seni, jemputan untuk berceramah tetap datang seperti biasa dan tidak pernah berkurang.
"Cuma disebabkan kekangan masa dan terikat dengan pelbagai komitmen lain, saya tidak dapat memenuhi kesemua jemputan, sebaliknya terpaksa memilih mengikut kelapangan yang ada.
"Bagaimanapun, saya akan pastikan sekurang-kurangnya sebulan sekali saya dapat hadir untuk berkongsi ilmu dengan orang ramai,” katanya yang kini sedang mengikuti pengajian undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa.
Dalam pada itu, Riz yang merupakan bekas peserta program Pencetus Ummah (PU) musim keempat berkata, biarpun namanya kini dikenali ramai sebagai seorang selebriti, soal bayaran tidak pernah menjadi keutamaannya dalam menjalankan kerja-kerja dakwah.
"Saya seronok terlibat majlis-majlis ilmu dan memutuskan untuk tidak meletakkan soal bayaran sebagai perkiraan utama.
"Konsep saya mudah, saya hanya ambil RM50 daripada bayaran yang diberikan kepada saya untuk bayar duit tol atau minyak kereta untuk hadir ke majlis tersebut.
"Saya dah janji dengan mak saya untuk tidak mengutamakan wang ringgit dalam kerja-kerja dakwah yang saya lakukan. Saya anggap itu sebagai tanggungjawab,” katanya.
Tambah Riz, perdekatan tersebut dilakukan kerana dia mempunyai pendapatan yang lain dan tidak bergantung sepenuhnya kepada bayaran berceramah.
"Saya hanya bercakap mewakili diri saya dan tak merujuk kepada orang lain kerana masing-masing mempunyai cara dan pendekatan berbeza.
"Lagi pun saya ada pendapatan lain daripada bidang perniagaan dan lakonan, jadi biarlah kerja-kerja dakwah itu saya lakukan tanpa meletakkan kepentingan yang sama.
"Kalau berlakon atau hal-hal berkaitan perniagaan, pertimbangan tentang bayaran itu memang kena ambil kira. Tapi untuk ceramah, saya rasa memadailah saya terima untuk kos pengangkutan saya sahaja,” ujar Riz yang baru sahaja tampil dalam pementasan teater Siapa Tuan? Err.. Mat Janggut, Mat Misai? Di Stor DBP hujung minggu lalu.