KUALA LUMPUR hanya menyasarkan kemenangan terhadap Kedah, esok pada perlawanan terakhir Kumpulan D Piala Emas Raja-raja (PERR) Ke-79 2019 tanpa menghiraukan keputusan melibatkan aksi Perlis dan Perak pada siangnya.
Jurulatih Kuala Lumpur, Zulkifli Samion menegaskan, anak-anak buahnya tidak akan sesekali bermain untuk seri sekalipun memiliki kelebihan gol selepas dua perlawanan dengan menduduki tempat kedua, mengatasi Kedah dan Perlis.
"Kami juga akan anggap menentang Kedah macam main final. Kami hendak menang, tuan rumah pun begitu. Bahaya bagi kami kalau hanya bermain untuk seri. Ini juga soal maruah pasukan dan negeri masing-masing,” katanya.
Perlis dan Perak akan bermain lebih awal, 4.45 petang esok di Padang UUM, Sintok sekali gus sebarang keputusan aksi siangnya sudah diketahui dan mampu mempengaruhi corak permainan Kuala Lumpur dan Kedah yang sepak mulanya, 8.45 malam di Stadium UUM.
Perak yang mendahului kumpulan ini dengan enam mata, sudah pun mengesahkan tiket suku akhir PERR, menyusuli Kingstown Klang FC daripada Kumpulan B selepas menewaskan tuan rumah 2-0, semalam selain menundukkan Kuala Lumpur 4-2, Ahad lalu.
Namun Perlis amat menagih kemenangan dengan gol yang besar terhadap Perak yang mungkin hanya menurunkan sebahagian besar pemain simpanan bagi memberikan rehat kepada barisan utama mereka selepas beraksi selama dua hari berturut-turut. Seri atau kalah bererti selamat tinggal PERR buat Perlis.
Kuala Lumpur yang mengumpul tiga mata selepas menewaskan Perlis 3-0, semalam, hanya perlu seri untuk mara ke suku akhir memandangkan jurang golnya, tiga berbanding Kedah di tempat ketiga (-2) yang turut perlu menang manakala Perlis (-3).
"Kami menentang Perak yang kebanyakan pemainnya daripada skuad Piala Presiden PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) FC yang sudah cergas bermain dalam pertandingan itu sejak Mac lalu sedangkan persediaan kami bagi PERR cuma dua minggu.
"Ada sedikit masalah kecergasan dan kepenatan pemain dalam 15 minit terakhir permainan biarpun mendahului 2-1. Mujurlah dengan Perlis, mereka mampu melupakan kekalahan itu dan menghidupkan semula peluang dengan meraih mata penuh,” katanya.
JADUAL ESOK
Kumpulan A:
Selangor lawan DBKL FC (Polimas, Jitra)
PDRM lawan MISC (Stadium Mini Jitra)
Kumpulan B:
Kingstown FC lawan Singapura
Terengganu lawan Pulau Pinang (UUM, Sintok)
Kumpulan C:
Kelantan lawan Melaka
Pahang lawan ATM (UUM, Sintok)
Kumpulan D:
Perlis lawan Perak
K. Lumpur lawan Kedah (UUM, Sintok)
* Sepak mula 4.45 petang kecuali Kuala Lumpur-Kedah, 8.45 malam
PENJARING TERBANYAK
4 gol:
Mohd. Firdaus Azizul (Negeri Sembilan)
3 gol:
Amirul Syafiq Abdul Rahim (Melaka),
Muhammad Alif Safwan (Perak)
2 gol:
Izzaq Faris Ramlan (Kingstown Klang FC),
Mohd. Hilmi Hussaini Asmadi (Pahang),
Nabilah Khan Razali (Kuala Lumpur)