Jerebu: 115 sekolah di Selangor ditutup esok

Iklan

SHAH ALAM - Sebanyak 115 buah sekolah di Daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Sabak Bernam akan ditutup esok, susulan keadaan jerebu yang serius di kawasan berkenaan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan malam ini berkata, penutupan itu membabitkan 26 buah sekolah di Sepang, Hulu Langat (23), Kuala Langat (21), Klang (27), dan Sabak Bernam (18).

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, penutupan sekolah tersebut membabitkan 113,699 pelajar.

"Berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen Putrajaya setakat 4 petang hari ini di bawah 200 dengan trend bacaan semakin menurun, maka semua sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat dan Petaling Perdana yang ditutup hari ini akan kembali beroperasi seperti biasa, esok.

Iklan

"Sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dalam mengutamakan kesihatan murid dan guru," kata kenyataan itu.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat jam 9 malam ini, bacaan IPU di Johan Setia adalah 230, Klang (188), Banting (180), Shah Alam (178), Petaling Jaya (176) dan Kuala Selangor (162).

Iklan

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). - Bernama