PEMAIN hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil memberi bayangan akan bersara daripada skuad kebangsaan sekiranya misi untuk layak ke saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak berjaya.
Menurutnya, kelayakan ke saingan Sukan Olimpik Tokyo kali ini adalah percubaan terakhirnya selepas turut gagal dalam empat pusingan kelayakan sebelum ini.
"Ini adalah percubaan terakhir saya di peringkat kebangsaan. Jika gagal, saya mungkin mengundurkan diri dan beri peluang kepada pemain muda untuk menyambung perjuangan ke Olimpik.
"Namun, sekiranya dapat layak dan selepas aksi Olimpik itu jurulatih masih memerlukan khidmat, saya bersedia. Namun, apa jua sekali pun tumpuan adalah untuk cuba layak ke Tokyo,” katanya ketika ditemui media pada sesi latihan, hari ini.
Mengulas lanjut, kata pemain berusia 33 tahun itu, dia akan cuba memberikan persembahan terbaik selain menggunakan setiap pengalamannya beraksi bersama pasukan kebangsaan sejak 2006 untuk membawa pasukan ke saingan Olimpik.
Malaysian Tigers dijangka berdepan halangan sukar untuk layak ke Tokyo apabila diundi bertemu Great Britain di pusingan kelayakan pada 2 dan 3 November di Stadium Olimpik Lee Valley.
Dalam pada itu, Tengku Ahmad Tajuddin menegaskan semua pemain berada pada tahap keyakinan tinggi dan optimis mampu memberikan tentangan sengit kepada gergasi Eropah itu.
"Dari segi keyakinan itu tinggi kerana kita telah hadapi siri jelajah Eropah sebelum ini dan waktu ini adalah peluang untuk kami meningkatkan lagi tahap keyakinan dan motivasi untuk bersaing dengan Great Britain.
"Buat masa sekarang ini juga kita buat persiapan dari segi individu terutama memperbaiki kelemahan setiap pemain berdasarkan maklum balas daripada jurulatih,” katanya yang memiliki 297 cap bersama pasukan kebangsaan.
Pasukan kebangsaan akan ke Korea Selatan, esok sebelum ke Eropah dua minggu lebih awal daripada tarikh perlawanan, bagi mengadakan perlawanan pemanas badan dengan pasukan Perancis, Sepanyol, Jerman atau Belanda.