YAN - Kos yuran pengajian di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) masih lagi kekal pada harga lama dan boleh dikatakan sebagai paling murah.
Ketua Pengarah Pasti Malaysia, Mohd Azam Abd Samat berkata, Pasti adalah sebuah institusi pra sekolah bawah Pas yang ditubuhkan atas kesedaran ummah kepada pendidikan berteras Islam.
Katanya, asas penubuhan Pasti adalah atas dasar kesedaran dan kebajikan kepada rakyat bagi mendapatkan pendidikan yang murah dan berkualiti.
"Bersesuaian dengan institusi pendidikan janaan rakyat, maka setiap keputusan yang diambil oleh jawatankuasa pengurusan akan memikirkan kemampuan dan kesan kepada ibu bapa.
"Sebab itu, masih terdapat Pasti yang mengekalkan yuran pengajiannya serendah RM15 sebulan terutama di kawasan kampung," katanya.
Mohd Azam berkata, meskipun secara purata khasnya sebelah utara yuran pengajian sekitar RM30 hingga RM40.
"Namun begitu ia berbeza mengikut keadaan setempat dan tanggungan pengurusan Pasti seperti sewa premis dan sebagainya.
"Begitu juga dari sudut jualan buku teks dan latihan, sudah lebih lima tahun Pasti Malaysia mengekalkan harga jualan buku teks, dan untuk sesi pengajian 2019 nanti, harga buku teks dan latihan masih dikekalkan," jelasnya.
Menurut Mohd Azam, pihaknya yakin harga set buku teks dan latihan di Pasti, antara termurah berbanding pra sekolah yang lain.
"Walaupun murah, kita masih mampu mengekalkan kualiti dan mutu, serta kandungan yang terbaik," katanya.
Tambah Mohd Azam, semasa pelaksanaan cukai jualan dan barangan (GST), peningkatan kos tersebut ditanggung oleh Pasti Malaysia.
"Begitu juga hari ini ketika kembali kepada percukaian SST, sedaya mampu, pihak kami akan cuba mengekalkan harga yang sama.
"Kami yakin, semua warga Pasti akan cuba menawarkan kualiti pendidikan terbaik kepada murid.
"Insya-ALLAH, tahun 2019 nanti, jumlah premis dan pelajar Pasti seluruh negara akan bertambah dan semoga slogan 'Pasti pilihan utama rakyat Malaysia' akan menjadi realiti," katanya.