PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Gabungan UMNO dan Pas melalui pemeteraian Piagam Muafakat Nasional Sabtu lalu tidak menggusarkan Pakatan Harapan (PH).
Pengarah Strategi Amanah, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebaliknya berkata, perkara itu akan dilakukan mana-mana parti pembangkang untuk meneruskan survival politik masing-masing.
"PH tidak perlu gusar kerana parti politik pembangkang perlu ambil langkah untuk terus hidup. Mereka tidak ada apa yang nak ditawarkan cuma konsep penyatuan ummah sahaja.
"Saya kira itu adalah hak mana- mana parti untuk bergabung. Itu adalah dalam ruang tindakan mana-mana politik khususnya yang telah kalah. Tetapi akhirnya rakyat akan nilai semua itu," katanya pada sidang akhbar sebaik selepas Majlis Pelancaran Hari Keselamatan Pesakit Dunia Yang Pertama dan Seminar Keselamatan Pesakit di sini semalam.
Bekas pemimpin Pas itu berkata demikian ketika ditanya mengenai penyatuan rasmi antara Pas dan UMNO yang secara rasminya memeterai piagam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Sabtu lalu.
Dzulkefly yang juga Menteri Kesihatan berkata, bagi membina masa depan negara yang lebih baik kerajaan memerlukan pembangkang yang kuat dan kukuh.
"Hasrat kerajaan untuk membina semula negara perlu kepada pembangkang yang kuat sebagai semak dan imbang.
"Bagaimanapun, saya berharap penyatuan Pas dan UMNO tidak sesekali mengheret rakyat dalam perkauman dan agama yang melampau sehingga boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam negara berbilang kaum dan agama ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: UMNO-Pas bergabung bukan hanya kerana PRU15