SHAH ALAM - Sebanyak 99 sekolah lagi di daerah Petaling Perdana, Kuala Selangor, Gombak dan Petaling Utama ditutup menjadikan sekolah yang ditutup hari ini di Selangor ialah 214 sekolah.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan pagi ini berkata, penutupan sekolah dibuat susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu melebihi 200, iaitu pada tahap sangat tidak sihat bermula jam 12 tengah malam tadi.
Iklan
Iklan
Menurutnya, sebarang perubahan atau maklumat terbaharu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Dalam kenyataan Kementerian Pendidikan malam tadi, sebanyak 115 sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Sabak Bernam ditutup pagi ini susulan keadaan jerebu yang serius di kawasan berkenaan.
Sementara itu, menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 7 pagi ini, bacaan IPU di Shah Alam adalah 219, Petaling Jaya (202), Klang (202) dan Banting (187).
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). -Bernama
Artikel Berkaitan