KOTA BHARU - Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) rentung dalam kebakaran di rumah kedai di Jalan Gajah Mati, di sini, pagi tadi.
Kejadian berlaku pada jam 5.50 pagi mengorbankan mangsa OKU pekak dan bisu, dikenali sebagai Mok Su, 40.
Wanita juga pekerja di premis itu ditemui pasukan bomba dalam keadaan rentung pada jam 7.17 pagi.
Pemilik kedai makan terbabit, Zaidah Mohd Istiak, 50, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur di tingkat bawah premis berkenaan bersama ibu saudara serta seorang cucunya yang berusia enam tahun.
"Saya tersedar dan melihat api sudah marak di ruang dalam kedai dan terus menjerit sekuatnya untuk mengejutkan orang lain termasuk dua lagi pekerja yang tidur di tingkat atas.
"Seorang pekerja lelaki sempat terjun untuk menyelamatkan diri manakala Mok Su gagal keluar dari bilik disebabkan api terus marak,” katanya.