SINGAPURA - Kualiti udara di Singapura telah mencapai tahap tidak sihat di seluruh pulau itu pagi ini dengan bacaan Indeks Standard Pencemaran 24 jam (PSI) mencecah sehingga 120.
Pada jam 9 pagi, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) berkata, bacaan itu sekitar antara 105 dan 120 dengan tertinggi di bahagian selatan republik itu.
Bacaan PSI mula-mula memasuki jajaran tidak sihat pada 14 September tetapi hanya di bahagian barat republik itu.
Pada bacaan 101 hingga 200, PSI 24 jam berada dalam lingkungan tidak sihat.
Semalam, NEA berkata, untuk beberapa hari akan datang, cuaca di Singapura dan Sumatera dijangka kekal kering dan tiupan angin adalah dari tenggara atau selatan.
"Aktiviti titik panas di Sumatera dijangka berterusan dalam keadaan kering sekarang. Singapura mungkin akan terus mengalami keadaan yang berjerebu," katanya.
NEA juga meramalkan bahawa PSI 24 jam berkisar antara sederhana dan tidak sihat bergantung kepada tiupan angin.
"Ia boleh memasuki bahagian pertengahan tidak sihat sekiranya jerebu yang lebih tebal dibawa masuk oleh angin dari Sumatera," katanya.- Bernama