PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga topeng muka secara tidak munasabah.
Jurucakap kementerian itu berkata, orang ramai perlu mengetahui terdapat lima jenis topeng muka telah ditetapkan harga maksimum runcit bagi barang harga kawalan.
Menurutnya, lima jenis topeng muka itu adalah terdiri empat topeng muka jenis pembedahan dan pembedahan satu lapisan (gelung telinga), dua lapisan (gelung telinga), tiga lapisan (gelung telinga/gelung kepala), tiga lapisan(ikatan pada kepala) dan N95.
"Bagi topeng muka satu lapisan, harga borong dan runcit sekotak adalah RM5 dan RM7; dua lapisan (RM8 dan RM20 atau RM0.20 seunit) dan tiga lapisan (gelung telinga/gelung kepala) harga borong dan runcit RM25 sekotak dan RM0.80 seunit.
"Bagi topeng muka tiga lapisan(ikatan pada kepala membabitkan harga borong dan runcit RM30 sekotak dan RM0.80 seunit, manakala topeng muka N95 membabitkan harga borong dan runcit RM100 sekotak dan RM6 seunit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kelima-lima jenis topeng muka dikawal harga secara perundangan adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Jelasnya, sebarang pelanggaran di bawah akta itu bagi semua jenis topeng muka dinyatakan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
"Kementerian memohon kerjasama dan perhatian pihak terlibat dalam pembekalan dan penjualan topeng muka agar membuat urus niaga secara berhemah dan mematuhi peruntukan harga maksimum topeng muka ditetapkan kerajaan.
"Adalah diingatkan bagi jenis topeng muka selain lima jenis ditetapkan harga maksimumnya, kementerian masih mempunyai kuasa mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (bagi sebarang perlakuan menaikkan harga borong atau runcit topeng muka secara tidak munasabah).
ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu: Dua masalah hantui penduduk Sri Aman