IPOH - Seorang remaja perempuan maut sementara rakannya cedera selepas motosikal ditunggangi bergesel dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 266.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Jelapang hari ini.
Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, Rohani Rosidi, 18, beralamat dari Padang Serai, Kedah maut di tempat kejadian dipercayai digilis.
Rakannya, Nur Adlina Fatin Wazni, 18, dari Bachok, Kelantan yang membonceng motosikal mengalami kecederaan dan kini dirawat di wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika remaja berkenaan dalam perjalanan dari Ipoh menghala ke Kedah.
"Tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda Wave dinaiki mereka telah bergesel dengan sebuah kenderaan yang belum dapat dipastikan menyebabkan mangsa jatuh ke tengah jalan.
"Seorang daripada mereka disahkan maut di tempat kejadian sementara seorang lagi mengalami cedera," katanya.
Beliau berkata, polis sedang berusaha mengesan kenderaan terlibat dan saksi bebas bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.