Mayat tiga beradik lemas serentak ditemui

Iklan
Suasana lebih pilu di Unit Forensik Hospital Dungun sebaik sahaja mayat ketiga, Nurain Fatma dibawa masuk.

DUNGUN - Kesemua mayat tiga beradik yang lemas selepas hilang dihanyut ombak besar di Pantai Sura, ditemui pagi ini.

Jasad ketiga-tiga kanak-kanak malang itu ditemui dalam keadaan terapung dalam jarak 3 hingga 5 kilometer dari lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Mayat Nurain Sofia Zawawi, 8, ditemui pada jam 7.30 pagi dalam jarak 10 meter dari pesisir pantai di kawasan Teluk Gadung.

Mayat kedua, Nurain Salsabila Zawawi, 6 ditemui dua jam kemudian dalam jarak 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.

Iklan

Manakala, mayat kakak sulong, Nurain Fatma Zawawi, 10 ditemui pada jam 11.05 pagi dalam jarak 2 meter dari pesisir pantai dan 3 kilometer dari lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Mohd Zohan Seman berkata, operasi yang bermula pada jam 7 pagi berjalan lancar dan kesemua mangsa berjaya ditemui dalam tempoh singkat.

Iklan

Menurutnya, walaupun berdepan sedikit kesukaran tetapi anggota penyelamat dapat menyempurnakan tugas dengan baik.

"Mangsa pertama ditemui pada jam 7.30 pagi, diikuti mangsa kedua pada jam 9.20 hari dan ketiga lebih kurang dua jam kemudian.

"Seramai 73 anggota polis, APM dan bomba terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat pada hari ini.

"Ombak besar dan angin kuat menyukarkan pencarian tetapi semuanya sudah selesai dan kita berterima kasih kepada semua yang terlibat," katanya.

Kesemua mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan selanjutnya.

Tiga beradik berkenaan dijangkakan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Rahmat, Rantau Panjang.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang semalam, tiga beradik yang datang dari Kelantan untuk bercuti bersama ibu saudaranya hanyut ditelan ombak besar ketika bersiar-siar di tepi pantai.