SEPANG - Cuti pegawai dan anggota bomba di negeri-negeri yang mengalami banyak kes kebakaran terbuka hingga menyebabkan jerebu masih belum berakhir, dibekukan khususnya di Sarawak.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, Seri Aman, Sarawak hari ini dikesan mempunyai enam titik panas berbanding lebih 12 titik panas semalam.
Justeru kata beliau, pihaknya akan memastikan pegawai dan anggota di negeri berhampiran berada dalam keadaan siap siaga jika negeri itu tidak mempunyai keanggotaan yang mencukupi untuk menjalankan operasi mengawal kebakaran.
"Contohnya jika Sarawak tidak mampu menangani operasi, bantuan dari Sabah dan Labuan akan digerakkan. Ini memerlukan mobilisasi yang banyak melibatkan jentera dan sumber manusia.
"Bagaimanapun, pembekuan cuti ini juga mengikut keperluan negeri masing-masing," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan 99 Unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dan 50 unit kenderaan utiliti Toyota Hilux kepada JBPM di Pusat Kejuruteraan Jentera JBPM Salak Tinggi di sini hari ini.
Beliau menambah, seramai 350 pegawai dan anggota dikerahkan dalam operasi pemadaman kebakaran terbuka di beberapa negeri hari ini.
Menurutnya, kesemua anggota bersama aset digerakkan untuk pemadaman kebakaran di Sarawak, Johor, Selangor dan Perak sebelum hanya tinggal enam titik panas di Sarawak.
"Daripada enam titik panas di Sarawak itu, tiga sudah dikawal dan kita sedang berusaha mengawal bakinya.
"Operasi pemadaman menggunakan kaedah 'total flooding' terutama di kawasan tanah gambut. Kita turut buat 'fire break' dan 'water bombing'," katanya.
Mohammad Hamdan berkata, pihaknya yakin pembenihan awan yang sedang dilakukan Tentera Udara Diraja Malaysia banyak membantu bagi memastikan titik panas itu dapat dihapuskan.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya tidak dapat mengawal jerebu di negara ini yang datang dari Indonesia iaitu Sumatera dan Wilayah Kalimantan.
"Jerebu juga berlaku kerana kebakaran hutan di Indonesia dengan 850 titik panas dikesan di Wilayah Kalimantan dan lebih kurang 60 titik panas di Sumatera.
"Indeks pencemaran udara (IPU) di Sarawak tinggi kerana kebakaran yang berlaku di Wilayah Kalimantan, sementara di Semenanjung pula akibat tiupan angin di Sumatera," katanya.
Sementara itu katanya, kes kebakaran di Sarawak dipercayai berlaku disebabkan aktiviti manusia.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka dibuat secara lebih agresif kerana JBPM sendiri tidak mempunyai keupayaan untuk memantau kebakaran yang sentiasa berlaku.
"Kita juga nasihatkan orang ramai supaya jangan lakukan pembakaran terbuka.
"Hentikan dahulu aktiviti rekreasi yang memerlukan pembakaran memandangkan kualiti udara sekarang adalah sangat tidak sihat," katanya.