Pengebom berani mati sasar bangunan kerajaan Afghanistan

Iklan
Mangsa serangan pengebom berani mati dan penyerang bersenjata di Jalalabad, Afghanistan hari ini dirawat di hospital. - FOTO AFP

JALALABAD - Sekurang-kurangnya 12 orang cedera apabila penyerang bersenjata menyerbu bangunan kerajaan di timur Afghanistan selepas satu serangan pengebom berani mati hari ini.

Pasukan keselamatan dikejarkan ke lokasi kejadian susulan serangan penyerang bersenjata di bangunan pejabat di Jalalabad, ibu kota wilayah timur Nangarhar.

Iklan
Iklan

Jurucakap wilayah, Ataullah Khogyani berkata, letupan dilakukan pengebom berani mati dan pasukan keselamatan dikerah bagi menyelamatkan kakitangan yang masih berada di dalam bangunan.

Salah seorang pekerja di bangunan tersebut, Haji Qudrat menceritakan kepada AFP detik salah seorang penyerang bersenjata memasuki premis pejabat.

Iklan

"Selepas letupan, kami mendengar bunyi tembakan di koridor kemudian seorang lelaki bersenjata memasuki pejabat kami dan mula melepaskan tembakan.

"Saya melompat melalui tingkap, beberapa orang rakan kami sama ada terbunuh atau cedera," kata Qudrat.

Iklan

Menurut Qudrat, terdapat kira-kira 200 orang di dalam premis ketika letupan berlaku, 80 kakitangan dan selebihnya sedang menunggu untuk menerima kad pengenalan elektronik atau 'tazkiras'.

Sementara itu, seorang guru di sekolah berhampiran berkata, ketika kejadian dia berada di dalam kelas.

"Saya berada di dalam kelas apabila satu letupan kuat kedengaran diikuti bunyi tembakan.

"Pelajar mula menangis dan kami terpaksa mengosongkan sekolah dan membawa mereka ke tempat lebih selamat," kata Mohammad Ullah kepada AFP.

Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan.

Insiden berlaku sehari selepas Taliban meragut nyawa hampir 50 orang dan mencederakan berpuluh yang lain dalam dua serangan berasingan, satu berhampiran himpunan kempen Presiden Ashraf Ghani di wilayah Parwan, dan satu lagi di Kabul. - AFP