Harimau Muda bermula garang, baham Kemboja

Iklan
Adam Uwais penjaring gol pertama skuad negara ketika menewaskan Kemboja 7-0 pada aksi di Stadium Nasional di Vientiane hari ini. - Foto Football Association of Malaysia (Official)

SKUAD Bawah 15 tahun negara (B-15) memulakan kempen Kumpulan J Pusingan Kelayakan Kejuaraan B-16 AFC 2020 langkah kanan apabila membenam cabaran Kemboja 7-0 pada aksi di Stadium Nasional di Vientiane hari ini.

Tampil dengan motivasi tinggi meraih tiga mata, anak buah P Maniam terlebih dulu mendahului Angkor Warriors menerusi penalti Adam Uwais Mohd Armi pada minit ke-7.

Iklan
Iklan

Keghairahan skuad Harimau Muda merobek gawang lawan berterusan apabila Adam Farhan Mohd Faizal melebarkan jaringan pada minit ke-16 sebelum Akid Mohd Zamri menyumbang dua lagi gol pada minit ke-22 dan 30 untuk selesa mendahului babak pertama.

Pada babak kedua, skuad negara terus garang apabila melebarkan jaringan menerusi Harry Danish Haizon pada minit ke-52 diikuti jaringan Nabil Qayyum Zainuddin (64) sebelum jaringan masa kecederaan Khairil Mohd Zain melengkapkan permulaan cemerlang kempen kelayakan berkenaan.

Iklan
Iklan

Skuad negara selepas ini akan meneruskan misi memburu tiga mata bertemu tuan rumah, Laos, Jumaat ini sebelum menutup pusingan kelayakan menentang gergasi Asia, Jepun pada Ahad.