Jerebu itu siapa punya?

Iklan
Gambar hiasan

PANDANGAN secara keseluruhan semakin kabur. Jarak penglihatan semua berbalam-balam. Dan mereka yang mempunyai masalah pernafasan berasa tidak selesa.

Jerebu melanda lagi!

Iklan
Iklan

Ketika rencana ini ditulis – semalam – beberapa kawasan mencatatkan udara tidak sihat, dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 200.

Malah, di Sri Aman, Sarawak mencapai paras berbahaya dengan bacaan melebihi 367, menjadikannya kawasan paling teruk terjejas.

Iklan

Gara-gara jerebu sambutan Hari Malaysia yang sepatutnya gilang-gemilang dan bergemerlapan, turut pudar dan terpaksa diadakan di tempat tertutup.

Seluruh negara terkesan dengan serangan asap. Beratus sekolah ditutup, kegiatan riadah awam tergendala, malah kenderaan di sesetengah kawasan diperlahankan.

Iklan

Beberapa lapangan terbang pun terhalang penglihatan, memaksa banyak penerbangan tergendala. Dengan panas berterusan dan pembakaran terbuka tidak terkawal, keadaan mungkin lebih teruk.

Maka sehari dua ini orang ramai menutup muka apabila berada di luar rumah. Dan seperti biasa ada yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga topeng. Jerebu memang menyusahkan orang.

Fenomena tahunan ini sudah tidak terelak lagi. Mahu tidak mahu kita terpaksa menerimanya. Apa lagi yang kita boleh buat?

Tidak sahaja Malaysia, Singapura juga menerima akibat jerebu. Seperti Malaysia, republik itu juga tidak dapat berbuat apa-apa; bantahan yang dikemukakan tidak menyahkan asap berbahaya itu.

Semua orang tahu biang keladinya ialah Indonesia. Negara dengan keluasan hutan tropika ketiga terbesar di dunia itu dikesan melakukan pembakaran terbuka secara berleluasa.

Beberapa NGO di negara jiran itu memprotes tindakan pembakaran terbuka yang menurut mereka disengajakan, sesetengahnya untuk tujuan perladangan.

Mereka menyalahkan pihak berkuasa kerana tidak tegas menghalang pembakaran terbuka. Setakat semalam jerebu mengorbankan dua orang di republik itu.

Tidak kira terbakar atau sengaja dibakar, apa yang marak di hutan tropika negara jiran itu memang tidak terkawal. Sukar untuk menyekat kemaraan api.

Seperti yang dijelaskan agensi pengurusan bencana negara itu (BNPB) sejak Januari hingga Ogos kawasan hutan seluas 328,724 hektar terbakar.

Memburukkan lagi keadaan ialah musim panas yang berpanjangan tahun ini dan sebahagian hutan adalah bertanah gambut yang sukar untuk api dipadamkan.

Memang bukti cerapan satelit menunjukkan pembakaran dilakukan di wilayah Indonesia, terutama di Sumatera dan Kalimantan. Asap daripada pembakaran itu yang menjerebukan negara kita.

Tetapi, Indonesia menyangkal asap itu dari wilayahnya. Sebaliknya republik itu tegas menyatakan bahawa jerebu di Malaysia adalah akibat pembakaran terbuka di hutan Malaysia sendiri.

Hatta, pembakaran terbuka di wilayah Indonesia juga dikatakan gara-gara perbuatan tidak bertanggungjawab syarikat Malaysia sendiri.

Pihak berkuasa republik berkenaan mengambil tindakan ke atas syarikat-syarikat perladangan Malaysia yang meneroka tanah untuk pertanian di sana.

Sekiranya benar syarikat kita melakukan kesalahan di sana, mereka memang patut dikenakan tindakan. Tetapi pada waktu sama, pembakaran hutan yang dilakukan syarikat-syarikat dan individu Indonesia juga patut dihukum.

Seperti dilaporkan media NGO-NGO di sana sendiri mendesak Presiden Jokowi supaya mengeluarkan senarai lengkap mana-mana syarikat – dalam dan luar negara – yang terlibat dengan pembakaran hutan.

Kita percaya dengan ketegasan dan iltizam yang tinggi pembakaran hutan boleh dikawal. Apa yang diperlukan ialah rasa kemanusiaan dan ketegasan pihak berkuasa di sana mengawal keadaan.

Putrajaya menghantar surat rasmi ke Jakarta, bukan membantah, sekadar menyatakan keprihatinan tentang jerebu yang memudarkan udara kita.

Memanglah kita tidak tahan dengan jerebu yang melanda hampir setiap tahun. Kita tidak mahu langit dan udara kita menyakitkan pandangan.

Tetapi seberapa yang mungkin kita hendak terus menjalin hubungan baik dengan negara jiran itu. Kita tidak mahu hubungan Putrajaya – Jakarta berjerebu.

Untuk menjaga hubungan baik serumpun, kita selalu dilihat mengalah dengan Indonesia, termasuk dalam hal-hal yang remeh-temeh.

Selama ini kita tidak ambil peduli apabila mereka mendakwa batik mereka punya, kuda kepang mereka punya, rendang mereka punya, hatta kuih popia pun mereka punya.

Semoga mereka insaf dan mengakui bahawa jerebu pun mereka punya!