MERAK Jalanan tabik dengan pemandu wanita. Mereka ini memang handal buat banyak kerja dalam satu masa. Tengoklah mak-mak kita, sambil masak boleh suapkan anak, basuh pinggan, kemas rumah.
Namun apa yang Merak Jalanan nak cerita, pagi semalam ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, dalam keadaan bacaan IPU 200 lebih Merak Jalanan terpandang pemandu wanita sebelah sedang bersolek sambil memandu.
Bersolek bukan biasa-biasa, tengah pakai maskara! Masa itu bukannya tengah terperangkap dalam kesesakan, tetapi kereta bergerak pada had laju 80 kilometer sejam.
Merak Jalanan tiba-tiba teringat dengan kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abul Halim Mansor.
Katanya, pekerja wanita amat diperlukan kerana kajian mendapati wanita lebih bersikap amanah terhadap tugas, lebih berdaya tahan secara mental dan fizikal serta lebih kreatif dalam menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0.
Namun kata beliau, pada ketika ini sangat sukar melihat organisasi swasta melantik pekerja wanita menerajui peringkat pengurusan dan pentadbiran kecuali syarikat berkenaan dimiliki ahli keluarga sendiri.
Mungkin disebabkan kekangan ini, ramai yang memilih untuk menjadi pendidik.
Merak Jalanan pernah berborak dengan seorang guru lelaki di sebuah sekolah. Katanya, dia ada tandas sendiri di sekolah itu. Kalau boleh dia nak tampal nama di depan pintu tandas itu.
Rupa-rupanya, di sekolah tersebut hanya dia seorang guru lelaki, yang lain semua wanita.Disebabkan itu, dia menjadi orang yang sangat penting di sekolah itu, tukang baiki meja rosak, baiki kipas, baiki lampu tak menyala malah sampai menyelesaikan masalah longkang tersumbat.
Disebabkan dia orang penting, sepanjang berkhidmat di sekolah itu tak pernah sekalipun dia keluarkan duit untuk membeli makanan di kantin.
Ia kerana, guru-guru wanita ini sentiasa membawa makanan untuk dimakan beramai-ramai. Sekali lagi, tabik!