SHAH ALAM - Fenomena jerebu yang melanda rantau Asia Tenggara saban tahun begitu memeritkan kita hinggakan pada tahun 1997 dan 2015 Malaysia pernah mengisytiharkan darurat jerebu susulan keadaan semakin berbahaya.
JIka masih ada yang ingat, pada tanggal 19 September 1997, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengisytiharkan darurat jerebu di Sarawak, apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 650, paras ‘berbahaya’ paling tinggi dalam sejarah.
Minggu ini, Malaysia kembali dilanda jerebu dan hari ini bilangan stesen yang mencatatkan IPU pada tahap sangat tidak sihat di seluruh negara meningkat kepada lapan kawasan pagi ini berbanding empat semalam.
Kerajaan juga mengambil maklum perkara ini dan sudah telah menghubungi kerajaan Indonesia memaklumkan mengenai keadaan jerebu yang semakin teruk di negara ini.
Dan semalam menerusi Mesyuarat Mingguan Kabinet, telah bermesyuarat untuk mendapatkan keputusan seterusnya bagi mengatasi masalah tersebut.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mempunyai rancangan untuk mewujudkan pelan jangka panjang bagi menangani jerebu rentas sempadan yang melanda negara ini setiap tahun namun turut memerlukan kerjasama negara lain termasuk Indonesia.
ARTIKEL BERKAITAN: Lapan stesen catat IPU sangat tidak sihat
Jerebu: Wisma Putra sudah menghubungi Indonesia
Sebelum itu, undian Sinar Harian menerusi Facebook menunjukkan majoriti pengguna berpendapat negara Asean perlu mengambil tindakan tegas terhadap Indonesia ekoran berlakunya fenomena jerebu di rantau ini sekarang.
Undian Sinar Harian menerusi media sosial itu sehingga malam tadi menunjukkan sebanyak 96 peratus daripada 4,400 pengguna bersetuju negara Asean mengenakan tindakan tegas terhadap Indonesia dan hanya empat peratus sahaja tidak bersetuju.
Ramai pengguna yang menyertai undian berkenaan turut meninggalkan komen bahawa hukuman tegas dapat mengelakkan kejadian berulang pada masa akan datang.
Kerajaan Indonesia dilaporkan telah menyita ladang termasuk konsesi milik syarikat asing berhubung pembakaran terbuka.
Indonesia sebelum ini sering dianggap sebagai penyebab kepada berlakunya kejadian jerebu setiap tahun.
ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu: Jokowi malu dengan Malaysia, Singapura
Ramai setuju Asean kenakan tindakan tegas terhadap Indonesia
Hinggakan pada Ogos lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) meluahkan rasa malu dengan Malaysia dan Singapura yang sentiasa terganggu dengan masalah jerebu akibat kebakaran hutan di negara itu.
Jokowi meminta pihak berkuasa negara itu mengambil serius isu tersebut dan menangani kes kebakaran hutan yang merekodkan peningkatan pada tahun ini berbanding 2018.
Bagaimanapun, luahan itu tetap tidak mengubah keadaan apabila bulan ini Malaysia dan Singapura terpaksa menerima kesan kebakaran hutan di Indonesia.
Berbeza dengan Jokowi, Timbalan Presidennya, Jusuf Kalla pada 2015 pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia dan Singapura sepatutnya berterima kasih kepada Indonesia yang telah memberikan udara yang baik kepada kedua-dua buah negara berkenaan sepanjang 11 bulan.
Dakwanya, hutan Indonesia yang lebat membantu dalam menyumbangkan udara yang baik kepada negara jirannya selama 11 bulan dan hanya kerana jerebu yang berlaku selama satu bulan, Malaysia dan Singapura telah melemparkan kemarahan kepada negaranya.
Oleh kerana jerebu ini akan terjadi setiap tahun meskipun pelbagai janji dibuat untuk menanganinya maka adalah lebih baik kita mengambil langkah berjaga-jaga.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mereka menasihatkan orang ramai supaya peka dengan tahap kualiti udara di kawasan masing-masing dan mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan.
Antara langkahnya KKM menasihati orang ramai agar memakai penutup hidung dan mulut (mask) terutamanya kepada penunggang motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang berhabuk dan juga mereka yang dikenalpasti sebagai kumpulan berisiko tinggi, selain itu sejauh yang boleh, orang ramai dinasihatkan supaya tinggal di dalam bangunan atau rumah.
Sementara itu menurut KKM, sekiranya keadaan jerebu berterusan pada tahap berbahaya, mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan keluar dari kawasan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Partikel-partikel halus yang membunuh