BANGKOK - Thailand membunuh lebih 200 ekor babi minggu ini susulan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemungkinan berlaku penularan demam babi Afrika di negara itu.
Setakat ini, Thailand belum melaporkan sebarang penularan demam babi Afrika dalam kalangan haiwan ternakan itu meskipun negara jirannya iaitu Myanmar, Laos dan Kemboja mempunyai kes penyakit berbahaya itu yang telah disahkan.
Jabatan ternakan Thailand berkata, langkah itu adalah tindakan pencegahan selepas dua ekor babi mati secara misteri di utara wilayah Chiang Rai, kira-kira 20 kilometer dari Myanmar, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik kenyataan pihak berkuasa pada Rabu
Kumpulan babi yang dibunuh berada dalam lingkungan satu kilometer dari kawasan babi yang sakit dan mati itu.
Jabatan itu berkata sampel darah dan tisu kedua-dua ekor babi dihantar pada 16 September ke sebuah makmal di wilayah Lampang untuk melihat sama ada ia dijangkiti virus demam babi Afrika.
Keputusan makmal boleh memakan masa kira-kira 14 hari.
Thailand diletak dalam keadaan berjaga-jaga sejak negara jirannya melaporkan penularan demam itu dan telah melarang import babi serta produknya dari Laos dan Myanmar.
Demam babi Afrika dikesan di Asia pada Ogos lalu di China yang menghapuskan hampir 40 peratus haiwan tersebut di negara pengeluar terbesar di dunia itu.
Sejak itu ia merebak ke seluruh Asia dan menjejaskan Mongolia, Vietnam, Kemboja, Laos, Myanmar dan Filipina.
Korea Selatan antara negara terbaharu yang terjejas akibat penularan virus itu dan mengesahkan dua kes minggu ini - Bernama