Gagasan Rahmatan Lil Alamin dibentang bulan depan

Iklan
Mujahid

GOMBAK - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof akan membentangkan draf gagasan Rahmatan Lil Alamin pada mesyuarat Kabinet akan datang bagi menjadikan gagasan itu sebagai dasar negara yang baharu.

Beliau berkata, terdahulu draf berkenaan dibentangkan pada Mesyuarat Hal Ehwal Kebangsaan (MKI) pada Mac tahun lepas dan disusuli pembentangan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 2 Julai lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penerangan di peringkat nasional mencapai tahap memberangsangkan melalui penganjuran pelbagai program termasuk interaksi dengan pegawai kerajaan, korporat dan kementerian.

"Insya-ALAH, kertas peringkat Majlis Jemaah Menteri (MJM) sudah pun disiapkan dalam bentuk draf akhir untuk dibentangkan seawal-awalnya hujung bulan ini, September atau selewat-lewatnya awal Oktober.

Iklan

"Apabila MJM menerima sebagai satu dasar dasar pentadbiran Islam hari ini maka insya-ALLAH kita akan menganjurkan satu majlis yang mana Perdana Menteri akan melancarkan dasar pentadbiran Islam baharu berasaskan Rahmatan Lil Alamin.

"Apabila draf ini diterima jemaah menteri, ia akan jadi satu dasar. Bila sudah jadi dasar, ia akan diterjemahkan dalam Bajet 2020 pada Oktober ini dan program lain," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Rahmatan Lil Alamin di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak semalam.

Hadir sama, Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Mujahid berkata, gagasan Rahmatan Lil Alamin dijangka diperluaskan sepenuhnya secara intensif di semua peringkat termasuk institusi pendidikan, jabatan dan pihak berkepentingan menjelang 2020.

Menurutnya, kerjasama strategik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan UIAM berjaya menganjurkan seminar bagi membahaskan konsep gagasan itu membabitkan ahli akademik negara ini, Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Sementara itu ketika ditanya keupayaan Rahmatan Lil Alamin menyaingi atau menandingi Penyatuan Ummah yang dibawa UMNO dan PAS, Mujahid berkata, gagasan tersebut bukan satu pertandingan.

"Ia bukan tentang pertandingan. Ia tentang satu dasar yang mahukan negara ini maju ke hadapan.

"Saya tidak ada hasrat atau keinginan langsung untuk menandingi atau menyaingi perkara yang bagi saya adalah pertandingan ke neraka. Saya mahu pertandingan ke syurga.

"Not race to the bottom tapi race to the top," katanya.