MELAKA TENGAH - Ketua Pembangkang Melaka, Datuk Seri Idris Haron mendakwa kerajaan negeri menyembunyikan fakta sebenar mengenai kemelut krisis air yang menghantui beribu penduduk di negeri ini.
Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, kerajaan negeri seharusnya mengumumkan catuan secara berkala dan bukanya masih menidakkan apa yang berlaku sebagai bukan krisis sedangkan hakikatnya paras empangan telah melepasi tahap kritikal.
Menurutnya, cara penyampaian mengenai masalah bekalan air juga dianggap tidak sistematik apabila notis pemberitahuan awal tidak diberikan ke peringkat akar umbi rakyat yang terjejas dan hanya sebahagian sahaja yang menerimanya.
Katanya, semua pihak yang berkaitan perlu memberikan perhatian serius terhadap isu mengenai kepayahan yang sedang dilalui rakyat pada hari ini.
"Inikah yang dikatakan kerajaan berwibawa dan saya yakin mereka sedang menyembunyikan beberapa fakta sebenar.
"Realitinya Melaka sedang berhadapan krisis air terburuk dalam sejarah pengurusan air dan semua empangan berada di tahap kritikal," katanya ketika melawat kolam tadahan air di Durian Tunggal di sini hari ini.