GUA MUSANG - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) memburu lebih 300 orang kena pengawasan (OKP) di daerah ini yang gagal melaporkan diri dalam tempoh yang ditetapkan.
Pegawai AADK Gua Musang, Siti Shabany Ibrahim berkata, sehingga kini terdapat seramai 653 OKP di Gua Musang dan hanya separuh daripadanya mengikut peraturan pengawasan.
Menurutnya, OKP bukan sahaja tidak hadir melaporkan diri malah didapati lari daripada alamat yang diberikan.
"Mereka perlu melaporkan diri bagi tempoh dua tahun pengawasan dalam daerah tetapi hampir separuh gagal berbuat demikian.
"Mereka dinasihatkan untuk hadir terlebih dahulu sebelum kita mengklasifikasikan kes sebagai langgar syarat," katanya.
Siti Shabany berkata, Gua Musang berada di tangga kelapan daripada 10 daerah mengikut jumlah OKP.
"Daerah ini berada di kedudukan kelapan dan diikuti Kuala Krai dan Jeli.
"Bagaimanapun, kita akan sentiasa memperkasakan operasi bagi membanteras gejala dadah dalam kalangan masyarakat," katanya.