TUDM siap siaga laksana pembenihan awan

Iklan
Di Semenanjung bilangan kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat dengan IPU melebihi 101 meningkat kepada 39 hari ini berbanding 35 semalam.

SUBANG- Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sentiasa bersiap-siaga untuk melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) bagi mengurangkan kesan jerebu.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pihaknya bersiap sedia 24 jam menjalankan tugas sebagaimana diperlukan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia.

Iklan
Iklan

"Kita akan pastikan dua pesawat sentiasa bersedia pada satu-satu masa untuk melaksanakan OPA.

"Operasi diharap dapat mengurangkan kesan daripada fenomena jerebu," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan OPA yang sedang dijalankan di Pangkalan Udara Subang hari ini.

Iklan

Tinjauan turut dihadiri Menteri Tenaga Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Sementara itu, Bee Yin berkata, Malaysia memerlukan kerjasama antarabangsa khususnya di peringkat Asean bagi mencari mekanisme terbaik dalam usaha menangani masalah jerebu merentas sempadan secara jangka panjang.

Iklan

Katanya, bagi menjamin penguatkuasaan undang-undang yang lebih efisien pula Akta Jerebu Rentas Sempadan perlu segera diwujudkan.

"OPA adalah usaha menangani jerebu dan pendekatan ini sebagai satu tindakan bersifat sementara atau tempoh jangka pendek sahaja.

"Bagi menjamin masalah ini dapat ditangani secara jangka masa panjang kita perlu wujudkan Akta Jerebu Tanpa Sempadan. Malaysia tidak memiliki akta tersebut buat masa sekarang tetapi apabila ada akta ini kita boleh ambil tindakan terhadap syarikat Malaysia yang telah menyebabkan jerebu di luar negara.

"Walaupun kita ada akta di sini, kita masih memerlukan kerjasama antarabangsa. Oleh itu adalah sangat penting kita berhubung dengan negara Asean lain," katanya.

Kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia menunjukkan penurunan dalam bacaan IPU setakat jam 12 tengah hari ini namun enam kawasan di Sarawak terus menyaksikan peningkatan dalam bacaan IPU dengan Mukah menjadi lokasi terbaharu mencatatkan IPU sangat tidak sihat.

Bagaimanapun, di Semenanjung bilangan kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat dengan IPU melebihi 101 meningkat kepada 39 hari ini berbanding 35 semalam.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.