Sindiket penyeludupan pasang CCTV

Iklan
Mohd Yusoff dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

KUALA LUMPUR - Pasukan Polis Marin (PPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan taktik lapuk sindiket penyeludupan yang didalangi warga tempatan.

Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, antara modus operandi itu adalah dengan menggunakan kapal dagang bersaiz besar yang datang dari negara luar bertindak sebagai kapal transit sebelum memindahkan barangan tersebut dalam bot-bot kecil tempatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ada juga yang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di pokok dan laluan penyeludupan bagi mengesan kehadiran unit risikan polis.

"Kes kapal transit ini kita kesan sejak dua bulan lalu di Rompin, Pahang. Manakala kes CCTV ini dikesan di Johor.

Iklan

"Sindiket ini juga bertindak agresif hingga sanggup melanggar pihak berkuasa sama ada menggunakan kenderaan lori atau bot semata-mata mahu melarikan diri daripada ditahan," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini hari ini.

Mohd Yusoff turut mendedahkan bahawa pihaknya sudah mengenal pasti tiga individu warga tempatan yang mendalangi sindiket jenayah terancang bagi menyeludup masuk barangan secara haram khususnya rokok dan arak melalui perairan negara.

Iklan

Katanya, ada dalang berperanan sebagai ejen kemasukan nelayan warga asing di perairan Pantai Timur.

"Berdasarkan statistik yang direkodkan sejak September tahun lalu hingga September tahun ini, sebanyak 5,645 kes dicatatkan dengan nilai rampasan mencecah RM180.719 juta. Ini termasuklah kes-kes melibatkan rokok, migran, arak, perikanan, dadah, balak serta barangan kawalan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kawasan 'hotspot' penyeludupan iaitu laluan perairan Pengerang, Johor sehingga Sepang melibatkan laluan sepanjang 180 batu nautika.

"Manakala di Tawau, Sabah melibatkan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan dan perairan Pantai Timur kes pencerobohan nelayan warga asing," katanya.

Justeru, PPM akan terus memperkukuh hubungan kerjasama antarabangsa dan agensi penguat kuasa tempatan dalam menangani permasalahan maritim di perairan negara.

"Kita juga berharap untuk perolehan aset-aset yang berteknologi tinggi pada masa akan datang bagi menjadikan PPM mampu bertindak dengan lebih cekap dan pantas.

"Saya akan pastikan PPM dihormati kawan dan disegani lawan dalam menjalankan penugasan kawalan keselamatan dan ketenteraman perairan negara," katanya.