"Tak ada apa yang kita nak banggakan sebab kita pun dah layak," Itu reaksi ringkat pengendali Pahang Dollah Salleh bagi mengulas kemenangan 2-0 ketika berdepan Pulau Pinang pada aksi terakhir peringkat Kumpulan C Piala Malaysia Stadium Bandaraya, kelmarin.
Dollah berkata, tanpa sebarang perlawanan persahabatan dalam tempoh rehat selama hampir tiga minggu lalu sempena kempen Kelayakan Piala Dunia 2022, memberikan peluang kepada beberapa pemain utama seperti Safuwan Baharuddin, Herold Goulon serta Muslim Ahmad untuk beraksi.
Menurutnya, kesempatan beraksi itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain-pemain berkenaan bagi mengembalikan semula momentum permainan sebenar menjelang aksi suku akhir kelak.
"Kita sudah tiga minggu tidak ada perlawanan persahabatan. Sebab itu kita bagi pemain seperti Safuwan, Guolon, Muslim dapat beraksi dalam perlawanan ini supaya mereka dapat balik momentum permainan Pahang sebenarnya,
"Sebenarnya saya perlukan (Mohamadou) Sumareh serta Dickson (Nwakamae), tetapi masing-masing sudah menerima dua kad kuning. Jadi saya tak nak ambil risiko nanti tak bersebab terus kedua-dua tak dapat beraksi sebab kedua-dua ini selalu suka 'bercakap' dengan pengadil dan mudah dapat kad kuning," katanya sejurus tamat perlawanan.
Kemenangan berkenaan menyaksikan skuad Tok Gajah itu menamatkan saingan selaku juara kumpulan dengan 15 mata hasil lima kemenangan dan hanya tewas sekali daripada enam perlawanan.
Selaku juara Kumpulan C, Pahang bakal berdepan naib juara Kumpulan D, Melaka United bagi aksi suku akhir kelak.
Sementara itu mengulas mengenai 'pertembungan' dengan bekas rakan sepasukan ketika mewakili skuad kebangsaan suatu ketika dahulu Zainal Abidin Hassan yang kini jurulatih Melaka United, Dollah mengakui ianya sebagai perkara biasa dalam bola sepak.
Katanya, kedua-dua mereka pastinya mahukan kemenangan buat pasukan masing-masing kali ini.
"Bila di padang emosi masing-masing. Zainal nak kemenangan, kita pun nak kemenangan. Biasa sahajalah.
"Lagipun, bukan setahun dua dalam bola sepak. Saya dan Zainal tidak ada masalah," katanya.