JAKARTA - Indonesia menghantar balik ratusan kontena mengandungi bahan buangan tercemar ke Barat berikutan barangan plastik untuk kitar semula berkenaan ditemukan bahan berbahaya.
Menurut pihak kastam Indonesia, antara lebih 2,000 kontena diperiksa di empat pelabuhan dari Julai hingga pertengahan September, hampir 550 daripadanya mengandungi bahan berbahaya atau sisa bukan plastik.
Ketua Pengarah Kastam dan Eksais, Heru Pambudi berkata, sisa yang diimport yang dicampur sampah atau sisa berbahaya perlu dieksport semula.
"Australia adalah sumber utama bahan toksik itu, tetapi kontena lain akan dihantar pulang ke Amerika Syarikat, Jerman, Greece, Belgium, Slovenia, Belanda, New Zealand, Hong Kong, Perancis dan Britain,” kata Heru.
Katanya, lebih 300 kontena sudah pun dihantar balik ke negara asal.
Pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap tiga syarikat yang terlibat dalam penghantaran itu. - AFP