Saya terima arahan PM bukan Jho Low: Bekas pegawai khas Najib

Iklan

KUALA LUMPUR - Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini sekali lagi memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa beliau menerima arahan daripada perdana menteri dan bukan daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata pertemuan antara Najib dan Jho Low diadakan di luar Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan selepas ahli perniagaan itu melarikan diri ke luar negara pada 2015, kedua-duanya berkomunikasi melalui media elektronik.

Iklan
Iklan

Semasa lawatan rasmi Najib ke New York dan London, Jho Low akan bertemu bekas perdana menteri itu di bilik hotel, kata Amhari efendi, 43.

Saksi utama itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh ketua pasukan pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-10 perbicaraan kes bekas perdana menteri membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Iklan

Sri Ram: Semasa pemeriksaan balas, dicadangkan kepada kamu bahawa kamu terhutang budi kepada Jho Low, bahawa kamu adalah rakannya, dan kamu mengelirukan perdana menteri dan kamu tidak bersetuju. Bolehkah kamu menjelaskan kepada mahkamah mengapa?

Amhari Efendi: Saya rasa hakikat bahawa dikatakan bahawa saya telah mengetahui dan bekerjasama dengan Jho Low semasa di EPU (Unit Perancang Ekonomi) adalah salah.

Iklan

Sri Ram: Perlahan-lahan, ini amat penting bagi kes saya. Kamu perlu (menjelaskan) secara perlahan-lahan.

Amhari Efendi: Berulang kali (saya katakan), saya bekerja untuk Datuk Seri Najib. Saya terima arahan daripada perdana menteri bukannya daripada Jho Low.

Sri Ram: Tetapi peguam cadangkan kepada kamu bahawa kamu mendapat arahan daripada Jho Low? Tetapi kamu kata tidak. Boleh jelaskan?

Amhari Efendi: Terdapat banyak perkara sepanjang bekerja dengan Datuk Seri Najib untuk menunjukkannya.

Saya telah melalui beberapa senario di mana apabila saya periksa sesuatu tugasan atau arahan yang diberi oleh Jho Low dan apabila saya semak dengan Datuk Seri Najib, beliau bersetuju dengan Jho Low.

Ada juga apabila ada percanggahan pendapat antara individu-individu tertentu, Datuk Seri Najib akan mengikut cadangan Jho Low.

Apabila begitu banyak sekali pengalaman saya dalam hal ini, saya buat kesimpulan daripada pergerakan dan percakapan Datuk Seri Najib apabila Jho Low cakap sahaja adalah dari Datuk Seri Najib.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya diarah cincang dokumen sebelum PRU: Bekas pembantu Najib

Adakalanya apabila ada peluang saya semak dengan Datuk Seri Najib selepas Datuk Azlin Alias meninggal, memang sah Datuk Seri Najib bersetuju apa yang Jho Low cadangkan.

Menjawab soalan Sri Ram mengenai sama ada Najib dan Jho Low bertemu di PMO, Amhari Efendi berkata:"Tidak. Mereka tidak bertemu di PMO tetapi di luar pejabat.

"Semasa mesyuarat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), mereka akan bertemu di tempat mesyuarat. Selepas 2015, Jho Low melarikan diri dan saya dimaklumkan bahawa mereka berkomunikasi melalui media elektronik,” katanya.

Mengenai lawatan rasmi Najib ke New York dan London, saksi itu yang menyertai Najib tetap dengan pendiriannya bahawa kebanyakan masa Jho Low dilihat di sana.

Sri Ram: Berapa kerap kamu menyertai perdana menteri ke New York?

Amhari Efendi: Saya rasa, kalau tak silap dua atau tiga kali.

Sri Ram: Setiap lawatan itu, siapa lagi yang mengiringi beliau (Najib)?

Amhari Efendi: Datuk Seri Rosmah dan rombongan PMO

Sri Ram: Semasa mana-mana lawatan ke New York dan London, Jho Low ada di sana?

Amhari Efendi: Kebanyakan masa dia ada apabila Datuk Seri Najib di New York atau London. Dia tidak bersama perdana menteri tetapi ada di situ.

Sri Ram: Kamu nampak dia berjumpa perdana menteri?

Amhari Efendi: Saya nampak dia berjumpa perdana menteri di bilik hotel.

Saksi itu berkata, beliau cam suara Rosmah kerana isteri perdana menteri itu pernah menghubungi beliau sebelum itu.

Sri Ram: Mengenai isteri tertuduh, Datin Seri Rosmah. Adakah kamu ingat semasa pemeriksaan balas, kamu berkata, Jho Low menerima panggilan telefon dan kamu cam suara itu adalah Rosmah. Bagaimana kamu tahu?

Amhari Efendi: Suaranya unik... saya boleh cam itu adalah dia. Malah Jho Low juga berkata itu adalah dia (Rosmah).

Sri Ram: Kamu biasa dengan suaranya?

Amhari Efendi: Ya

Sri Ram: Bagaimana?

Amhari Efendi: Dia pernah menghubungi saya sebelum itu dan saya tahu bagaimana suaranya di telefon.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 dan untuk 21 lagi pertuduhan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di tempat yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim​​​​​​ Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin. - Bernama