SHAH ALAM -"Silakan bagi mereka yang ingin menangguk di air yang keruh." Demikian tegas Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkenaan perobohan rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir yang dibina di atas tanah rizab milik Kerajaan Selangor di sini semalam.
Amirudin berkata, pihaknya sebelum ini telah pun membuat rundingan dengan pihak terlibat termasuk tawaran dari segi penempatan dan kos perpindahan.
"Berkaitan isu di Paya Jaras, kita dah tawarkan rumah, kita tawarkan kos perpindahan dan sebagainya dan ada perbincangan yang dilakukan tapi ada yang ingin menangguk di air yang keruh.
"Saya ucapkan terima kasih dan silakan untuk main politik sebab isu ini melibatkan kawasan dan lokaliti yang lebih besar. Kawasan Merbau Sempah dan Paya Jaras terkesan dengan banjir yang lebih parah jika tanpa projek itu diteruskan pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.
Menurutnya, projek pelebaran Sungai Kedondong bagi mengatasi masalah banjir di Paya Jaras pun diluluskan sejak 2015 lagi, namun tertangguh sejak kira-kira empat tahun lalu.
"Andai tanpa peri kemanusiaan, kita tak akan tangguh sehingga kini. Saya sendiri beri penangguhan sehingga peperiksaan UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) lalu.
"Mereka sendiri hubungi dan minta kita tangguhkan dan kita penuhi permintaan mereka itu tapi pada masa sama kita ada limitasinya," katanya.
Terdahulu seramai 90 orang penduduk yang menetap berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras memohon kerajaan negeri menangguhkan proses perobohan kediaman mereka sehingga akhir tahun ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Roboh rumah: Penindasan kepada rakyat
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Sungai Kedondong, Muhammad Ichsan Abdul Manaf berkata, mengikut notis awal yang dikeluarkan, penduduk hanya diberi tempoh selama 30 hari bermula 5 Ogos sehingga 5 September lalu untuk keluar dari kediaman masing-masing yang dikatakan berada di atas tapak rizab kerajaan negeri.
Dalam pada itu, operasi perobohan rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras yang dibina di atas tanah rizab milik Kerajaan Selangor dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan dengan penyerahan notis awal kepada penduduk terlibat.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, pelaksanaan perobohan itu sebenarnya telah dirancang sejak tahun 2008 lagi dan penduduk terlibat juga menerima notis pertama sejak 2015.
Bagaimanapun katanya, pihaknya pada waktu itu membantah perobohan berkenaan memandangkan penduduk terlibat tidak mendapat tawaran Rumah Selangorku sebagai pampasan kepada perobohan terbabit.
"Lepas itu, kita terus usaha dan akhirnya mereka dapat tawaran Rumah Selangorku dan tidak perlu menunggu giliran seperti penduduk lain.
"Pada 2 Ogos lepas, kita serahkan surat tawaran (Rumah Selangorku) berkenaan dan memberi notis untuk perobohan berkenaan beberapa hari kemudian dengan menetapkan tempoh selama 30 hari buat penduduk mencari rumah sewa lain," katanya.