KUALA PILAH - Stesen bas Kuala Pilah yang berusia lebih 30 tahun akan berwajah baharu apabila lapan lot gerai di tingkat atas dinaik taraf kepada pejabat Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP).
Yang Dipertua MDKP, Syarul Nizam Saleh berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor antaranya kurangnya sambutan daripada pelanggan
selain hanya terdapat dua gerai makanan dan minuman beroperasi di tingkat itu sebelum ini.
"Kami hanya ubah suai kegunaan bangunan sedia selain menyusun, mengurus lokasi perniagaan lebih sesuai dan strategik untuk dikunjungi orang ramai sekali gus membantu peniaga.
"Ketika ini proses naik taraf sedang dilakukan yang telah bermula pada bulan Jun lalu dan dijangka siap pertengahan Oktober depan melibatkan kos sebanyak RM300,000 melalui peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Operasi bas henti-henti di Kuala Pilah masih lagi berjalan seperti biasa pada sebelah siang manakala pada dan waktu malam dihidupkan dengan aktiviti Medan Malam melalui gerai jualan makanan dan minuman," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu Syarul Nizam berkata, pekan Kuala Pilah akan terus diceriakan secara berperingkat susulan mempunyai bangunan ikonik yang mencerminkan sejarah Kuala Pilah dan merupakan daerah beradat.
Terdahulu, Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) memberi jaminan pembangunan di daerah itu memberi manfaat kepada penduduk setempat seiring dengan visi Kuala Pilah ke arah perbandaran tahun 2025.
Syarul Nizam berkata, usaha tersebut turut melibatkan pembangunan jangka panjang antaranya prasarana dan ekonomi.
"Ekonomi daerah ini dijangka lebih rancak susulan penambahbaikan prasarana sedia ada dan pembinaan Dataran Melang di sini yang dijangka siap pada Oktober depan selain adanya restoran Mc Donald's yang baru dibuka.
"Dataran Melang ini yang bernilai RM350,000 peruntukan daripada KPKT dilengkapi dengan parkir, lampu limpah dan laluan pejalan kaki.
"Kawasan di sini diyakini mampu memberikan persaingan sihat kepada peniaga tempatan selain pelbagai perancangan telah disusun agar mereka dapat berniaga melalui trak makanan, expo, jualan dari bonet kereta (car boot sales) dan beberapa program lain," katanya.