MAIK beri kebenaran UUM kumpul dana wakaf

Iklan
Tengku Sarafudin Badlishah berkenan berangkat menyaksikan MoA bagi penubuhan Skim Dana Wakaf (UUM yang ditandatangani Ahmad Bashawir (duduk dari kanan) dan Syeikh Hasbullah (duduk dari kiri) di JHEIK semalam.

ALOR SETAR - Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan berangkat menyaksikan Memorandum Perjanjian (MoA) penubuhan Skim Dana Wakaf Universiti Utara Malaysia (UUM) di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEIK) di sini hari ini.

Memorandum ditandatangani Naib Canselor UUM, Datuk Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani dan Bendahari, Eylani Ahmad; Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Datuk Syeikh Hasbullah Abd Halim dan Setiausaha MAIK, Mejar (K) Datuk Abd Rahman Ismail.

Iklan
Iklan

Turut hadir, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang; Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman.

Syeikh Hasbullah berkata, MAIK ialah pemegang amanah tunggal bagi wakaf, nazar dan aman di Kedah berdasarkan peruntukan Seksyen 52 Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam (Kedah Darul Aman) 2008.

Iklan

"MAIK secara rasmi memberi kebenaran dan kepercayaan kepada UUM melaksanakan Skim Dana Wakaf UUM untuk manfaat mahasiswa dalam pendidikan dan pembangunan modal insan.

"Jadi, UUM secara tidak langsung memainkan peranan sebagai penggerak dalam amalan wakaf dan sedekah jariah khususnya kepada warga kerja UUM," katanya pada sidang media di JHEIK di sini semalam.

Iklan

Menurutnya, masyarakat yang ingin menyumbangkan dana wakaf boleh melakukannya sama ada melalui potongan gaji atau kaedah lain

"Saya berharap pengurusan wakaf dapat dikembangkan dengan lebih profesional melalui usahasama antara dua institusi ini," katanya.

Sementara itu, katanya, melalui skim itu, UUM diberi kelulusan mengumpul dana wakaf di UUM dan menguruskan dana bagi tujuan kerohanian, kebajikan, pendidikan, kesihatan dan kepentingan warga universiti khasnya dan umat Islam amnya yang berada di dalam institusi pendidikan.

Ahmad Bashawir berkata, pihaknya mendapati penggunaan sumber wakaf sebagai alternatif pembiayaan dalam institusi pengajian tinggi telah digunakan secara meluas di universiti terkemuka dalam dan luar negara.

"Susulan itu, skim berkenaan adalah wasilah bagi memberi peluang dan kemudahan kepada setiap lapisan warga universiti untuk menunaikan ibadah wakaf.

"Melalui skim itu, mereka masih boleh berwakaf wang tunai walaupun tidak mampu mewakafkan harta kekal atau nilai tinggi seperti tanah, rumah dan bangunan," katanya.

Menurutnya, skim dana wakaf yang akan diuar-uarkan dalam tempoh terdekat akan digunakan sebaiknya bagi membantu mahasiswa dari golongan B40.

"Kerjasama ini juga membantu mengukuhkan pengurusan dana wakaf di MAIK menerusi penyelarasan, penyelidikan dan usahasama pembangunan harta wakaf untuk menjamin kepentingan dan pemilikan umat Islam pada masa hadapan.

"Kita harap Kementerian Kewangan dapat memberi pelepasan cukai kepada pewakaf bagi menarik minat masyarakat Islam khususnya warga universiti ke arah membudayakan amalan wakaf dan sedekah jariah demi kemaslahatan ummah," katanya.