KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik pelaksanaan pemasangan kamera badan bagi mencegah fitnah terhadap anggotanya selain meningkatkan kecekapan tugasan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pelaksanaan itu juga dapat mengelakkan berlaku penyelewengan ketika bertugas.
"Bukan sahaja body cam (kamera badan), tapi peralatan lain seperti pistol perenjat elektrik (taser gun) untuk kes-kes mententeramkan orang mengamuk.
"Selain itu, kita juga akan kemukakan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) beberapa peralatan yang diperlukan dalam modern policing," katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Konsultasi dan Lawatan Menteri Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang ke Balai Polis, Lokap dan Kuarters PDRM Bagi Zon Tengah di Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Cheras di sini hari ini.
Andul Hamid menyambut baik berita baik itu kerana pihaknya banyak membuat permohonan untuk menaik taraf peralatan yang diperlukan.
Katanya, ini dapat memastikan polis dapat menjalankan tugas dengan lebih sempurna dan terlindung daripada tohmahan.
Turut hadir dalam lawatan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.
Mengulas mengenai pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dalam lokap, Abdul Hamid berkata, tiada bantahan daripada pihaknya berhubung perkara ini.
"Anak buah (polis) saya terdedah kepada fitnah. Kebanyakan kes-kes kematian dalam lokap banyak melibatkan penyakit contohnya tahap empat iaitu ketagihan dadah tetapi tohmahan yang keluar mengatakan anak buah saya yang pukul. Kita amat lega dengan ada CCTV ini kita dapat elak tohmahan," katanya.