SHAH ALAM - Kerajaan digesa segera menyelesaikan isu jerebu kerana dilihat semakin kritikal.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, setiap tahun negara berdepan situasi sama.
"Lebih banyak sekolah diarah tutup kerana bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semakin tinggi dan keadaan itu tidak berubah menjelang hujung tahun.
"Situasi itu dilihat tidak diambil tindakan oleh pihak berwajib seperti sebelum ini. Hanya arahan penutupan sekolah dilakukan secara berperingkat di semua daerah dan negeri berdasarkan bacaan IPU," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee seolah-olah tidak mengambil sebarang tindakan walaupun Kerajaan Indonesia telah mengenal pasti punca masalah berkenaan.
"Biarpun Kementerian Pelajaran dan Kesihatan memperuntukkan cuti dan amalan kesihatan kepada semua masyarakat namun tidak mencukupi kerana masalah ini tetap akan berulang kerana aktiviti pembakaran hutan menjadi rutin setiap tahun.
"Sikap berdiam diri kerajaan baru hari ini menyebabkan ribuan pelajar menanggung risiko kesihatan dalam menghadapi peperiksaan penting seperti Pentafsiran Tingkatan Tiga (PT3) dan sebagainya," katanya.
Tambah Dominic, tindakan undang-undang juga perlu dikenakan terhadap mereka yang melakukan pembakaran secara terbuka.
"Sebelum nasi jadi bubur, eloklah kerajaan memikirkan tindakan yang setimpal terhadap mereka yang melakukan pembakaran secara terbuka dan sebagainya.
"Lebih banyak penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan dan diperkasakan bagi mengelakkan kejadian ini berulang," katanya.