KUALA LUMPUR - Sebanyak 756 lokap balai polis di seluruh negara akan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bernilai RM73 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, pemasangan itu sebagai usaha memantau tahanan selain memantapkan integriti pihak berkuasa.
"Selain itu, CCTV juga akan dipasang di lokap mahkamah bagi tujuan sama tetapi menggunakan peruntukan berasingan.
"Bajet pemasangan CCTV ini diluluskan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) berlangsung di Putrajaya semalam," katanya pada Sesi Konsultasi dan Lawatan Menteri Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang ke Balai Polis, Lokap dan Kuarters PDRM Bagi Zon Tengah di Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Cheras di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.
Vui Keong juga memberitahu, kerajaan turut meluluskan peruntukan berjumlah RM100 juta bagi membaik pulih lif pejabat dan kuaters polis seluruh negara.
"Kerja-kerja membaik pulih lif membabitkan 210 kuarters dan pejabat akan dilakukan selepas kontraktor menerima surat pelantikan hujung bulan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, lawatan berkenaan dapat membentangkan keadaan sebenar dan menguatkan mesej yang hendak disampaikan kepada kerajaan.
"Ini bukan soal gaji tapi keselesaan bagi memastikan rumah yang ditinggalkan anggota dalam keadaan selamat," katanya.