KSSB laksana penambahbaikan untuk kekal proaktif, elak ketirisan

Iklan
Mohamed Fariz.- FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

KUMPULAN Semesta Sdn Bhd (KSSB) ditubuhkan sejak 2008 oleh Kerajaan Selangor berperanan bagi menguruskan serta memantau pengeksplorasian, pengekstrakan, pengeluaran dan penjualan pasir secara profesional di negeri ini.

Sejak penubuhannya, KSSB telah memainkan peranan yang baik untuk menjadi sebagai pusat sehenti atau one stop center kepada pengusaha pengurusan pasir di negeri ini bagi membantu mereka dalam kelulusan permit dan urusan melibatkan Jabatan Teknikal.

Iklan
Iklan

Dalam memastikan KSSB menjadi peneraju utama perlombongan dan pembangunan sumber bahan batuan dan mineral, pelbagai perancangan dan penambahbaikan telah diatur oleh pihak pengurusan untuk memastikan setiap kakitangan kekal proaktif bagi membawa misi serta visi syarikat ini.

Bagi mengupas lanjut mengenai perancangan masa hadapan KSSB, ikuti sesi wawancara bersama Ketua Pegawai Kewangan KSSB, Mohamed Fariz Ghazali yeng menerangkan lebih lanjut mengenai hala tuju agensi itu.

Iklan

Untuk permulaan, mungkin tuan boleh terangkan mengenai bentuk perniagaan dijalankan oleh KSSB?

MOHAMED FARIZ: KSSB ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) bagi menguruskan operasi-operasi pengorekan sungai dan perlombongan pasir di Selangor. Inspirasi asal penubuhan ini adalah dalam bentuk perlombongan sumber asli namun pengorekan sungai dan perlombongan pasir adalah menjadi fokus kerana merupakan sumber utama di Selangor.

Iklan

Sebelum 2008, isu berkaitan pasir sering berlaku di Lembah Klang apabila pembangunan pesat industri pembinaan menyebabkan permintaan pasir semakin tinggi sehingga menyebabkan pelbagai isu seperti kecurian dan ketidakpatuhan berlaku.

Persampelan air berkala bagi menjaga kebersihan air.

Isu pasir ini bukan hanya di Selangor tetapi juga di negeri-negeri lain malah di negara luar terutama negara dunia ketiga dengan skala yang lebih besar. Ini juga menyebabkan pasir menjadi satu bentuk perniagaan penyeludupan bagi mengelak pelbagai syarat-syarat teknikal pihak berkuasa.

Maka atas sebab itu Kerajaan Selangor menubuhkan KSSB untuk memantau dan menguruskan eksplorasi, pengekstrakan dan penjualan pasir dengan lebih sistematik serta pembahagian ekonomi yang lebih adil.

Sejak mula beroperasi, berapa jumlah pasir yang telah dipasarkan oleh KSSB?

MOHAMED FARIZ: Setakat 2008 hingga 2019 kita dah jual sebanyak lebih 76.5 juta tan pasir. Ini bukan hanya melibatkan tapak KSSB sahaja sebab kita juga uruskan operator-operator tapak persendirian di bawah pengurusan kita.

Mereka akan jual pasir melalui permit KSSB. Ini kerana syarat bagi permohonan untuk operasi mestilah melalui KSSB untuk kami memohon kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

KSSB banyak berurusan dengan Jabatan-jabatan Teknikal lain sebelum sebarang permit pengorekan dan penjualan pasir diberikan iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Majlis-majlis Perbandaran, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Semua Jabatan-jabatan Teknikal ini akan beri ulasan terlebih dahulu sama ada sesuatu tempat boleh beroperasi atau tidak sebelum diluluskan di peringkat PTG.

Di Selangor, kelulusan permit perlombongan adalah paling ketat di rantau ini dan apabila permit ini dikeluarkan pemantauan operasi diuruskan oleh KSSB.

Berapa banyak tapak perlombongan diuruskan oleh KSSB buat masa ini?

MOHAMED FARIZ: Buat masa sekarang KSSB urus 35 tapak sungai yang aktif, 24 tapak stockpile pasir, dua kuari dan muka sauk. Untuk sungai KSSB uruskan pengorekan pasir lebih 243 kilometer di Selangor termasuk beberapa muka sauk melibatkan lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat, Sungai Klang dan Sungai Bernam.

Ini termasuk juga selenggaraan Smart Tunnel di daerah Ampang. KSSB merupakan pihak yang ditugaskan untuk menjalankan penyelenggaraan 18 muka sauk disebabkan mendapan pasir.

Bagi muka sauk yang tiada pasir dan tidak menguntungkan, kita masih buat penyelenggaraan bagi menunaikan tanggungjawab memastikan water-intake pemprosesan air sentiasa terjaga. Itu adalah antara peranan KSSB sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kerana secara governance, sebuah syarikat tidak sepatutnya meneruskan unit perniagaan yang tidak menguntungkan.

Permit stockpile dari kerja penyelenggaraan sungai oleh kontraktor JPS diuruskan oleh KSSB walaupun tidak menguntungkan di atas dasar tanggungjawab memastikan longgokan pasir tidak mengganggu laluan, memastikan keselamatan serta mengelakkan impak banjir kepada penduduk setempat.

KSSB giat memantau aktiviti pengorekan pasir bagi memastikan tiada berlaku sebarang ketirisan.

Misi kerajaan tubuhkan KSSB adalah untuk memastikan tiada ketirisan dan memastikan pengusaha lebih bertanggungjawab. Pada masa sama, di bawah KSSB operator-operator dan kontraktor juga berpeluang untuk masuk tender di tapak-tapak KSSB yang lain kerana kita mempunyai rekod tatacara kerja dan keupayaan mereka.

Hasil diperoleh KSSB pula akan disumbangkan kepada kerajaan dalam bentuk dividen, sumbangan terus dan lain-lain, termasuk program-program CSR di samping peluang pekerjaan di kawasan setempat.

Sejak penubuhan pada 2008, apakah penambahbaikan yang dilaksanakan oleh pengurusan KSSB?

MOHAMED FARIZ: Masa awal penubuhan KSSB, kita menjadi pihak ketiga sebagai syarikat kerajaan yang memantau operasi pasir dan penglibatan hanya di peringkat menjaga permit sahaja. Bermula tahun 2015 kita paling banyak buat perubahan dalam bentuk operasi syarikat.

Banyak inisiatif penambahbaikan dilaksanakan secara berperingkat dengan lebih agresif susulan pelbagai isu yang telah timbul sebelum ini melibatkan pelbagai pihak berhubung tadbir urus dan cara syarikat beroperasi.

Fokus penambahbaikan pada peringkat permulaan menjurus kepada tadbir urus syarikat yang mana pengurusan menerapkan budaya integriti dan kebertanggungjawaban kepada semua pekerja sehingga peringkat Lembaga Pengarah.

Visi dan nilai bersama syarikat ditekankan kepada semua pekerja, pemantauan tahap skop kerja yang lebih jelas, penerapan sistem Key Perfomance Indicator (KPI) yang lebih realistik serta perlaksanaan yang lebih tegas terhadap isu melibatkan integriti di semua peringkat perjawatan. Kita juga tingkatkan gaji minima kepada RM1,500 sebulan bagi mengimbangi komitmen kerja di tapak terpencil yang bermula seawal 4 pagi.

Kemudian kita sudah tambah baik dalam bentuk pengurusan tender. KSSB sewaktu awal penubuhan mendapat banyak tentangan daripada pengusaha sedia ada.

Dulu banyak isu dibangkitkan contohnya bagaimana proses tender dilakukan, macam mana pemilihan kontraktor dibuat dan sebagainya. Bila kita tambah baik proses, kita betulkan Standard Operating Procedure (SOP) dan daftarkan proses pengurusan tender, proses menguruskan kontraktor di tapak-tapak dan kita turut daftar di bawah ISO terkini 9001:2015. SOP kita diiktiraf dan tidak timbul sebarang persoalan dalam proses pemilihan tender, kontraktor dan sebagainya sebab kita di audit bawah ISO ini.

Dalam tempoh itu juga kita perkenalkan Health, Safety and Environment (HSE) yang mana tidak diwujudkan sebelum ini. Sejak HSE ditubuhkan pada 2015 kita pastikan bukan kakitangan KSSB sahaja mengikut inisiatif ini tapi turut dilaksanakan kepada semua kontraktor atau operator di bawah KSSB.

Di peringkat awal memang bukan mudah untuk laksanakan HSE dalam industri perlombongan terutama pasir. Agak mencabar untuk memupuk kesedaran dan sebagai budaya kerja namun kita tambah baik dari semasa ke semasa.

Dari situ kita bergerak ke hadapan bukan sahaja melibatkan perlombongan pasir sahaja tetapi juga tanah liat, tanah merah, dan pengurusan kuari dan granit.

Walaupun di bidang perlombongan namun secara tidak langsung kita juga terlibat sebagai pembekal bahan binaan asas yang utama dan terpenting. Sebab itu kita juga berdaftar dengan institusi-institusi melibatkan perlombongan, kuari dan bahan binaan.

Kerajaan Selangor juga telah beri mandat kepada KSSB untuk laksanakan Operasi Pengepaman Air Kolam (opak). OPAK adalah kolam yang dikorek bersebelahan sungai dan menyediakan air dari sungai. Bila paras air sungai rendah, kolam ini akan bantu untuk pam air ke sungai.

Ini merupakan inisiatif kerajaan negeri susulan daripada krisis air sebelum ini. KSSB mengurus 35 pam OPAK dan kolam yang terlibat kebanyakan terletak di kawasan Utara Selangor. Operasi OPAK ini boleh disamakan dengan model off-river storage (ORS) yang mana KSSB juga berperanan mengurus pengorekan, menyelenggara dan menyediakan kolam-kolam ORS seperti kolam ORS di Kampung Hang Tuah, Bestari Jaya.

Kita juga telah menyiapkan satu kolam takungan besar dipanggil Hybrid off River Augmentation System (HORAS). Kos pengorekan kolam ini menggunakan model perniagaan perlombongan pasir. Kita korek 400 ekar dan sediakan kolam ini untuk tampung pembekalan sekitar 600 juta liter air sehari.

Ia dilaksanakan pada 2014 dan siap sepenuhnya pada 2018. Kerajaan Selangor tidak keluarkan sebarang peruntukan kepada kita dan kos pengorekan ditampung sepenuhnya oleh KSSB.

Apa langkah diambil oleh pengurusan untuk memastikan KSSB kekal proaktif?

MOHAMED FARIZ: Apabila disebut tentang perlombongan pasir ia dianggap sesuatu yang negatif namun pihak kami di sini bertindak untuk mengawal. Sebab itu antara inisiatif sejak 2016 kita sediakan pasukan dalaman untuk mengawal kualiti air, udara dan bunyi. Namun kita lebih fokus kepada kualiti air sebab operasi perniagaan kita melibatkan air yang banyak.

Kita pastikan KSSB proaktif dengan mengambil sampel kualiti air pada setiap bulan melebihi syarat sedia ada. Kita pastikan bila kita buat kerja, air tidak akan tercemar. Kalau tercemar kita akan hentikan dan betulkan apa yang patut. Berbanding negeri-negeri lain, perlombongan pasir tidak mempunyai skim perlombongan seperti di Selangor yang mana kita sediakan skim perlombongan sendiri, skim cucigali sungai, skim perlombongan pasir dan kuari di peringkat dalaman untuk kelulusan pihak berkuasa.

Bagaimana maklum balas pihak kontraktor selepas KSSB melaksanakan sistem Smart Docket?

MOHAMED FARIZ: Pada peringkat awal ramai yang risau apabila Sistem Smart Docket ini diperkenalkan. Sistem Smart Docket ini menyebabkan kontraktor tidak boleh lari atau keluar tanpa timbang. Melalui sistem online ia lebih selamat. Kita boleh pastikan lori yang masuk tidak curi pasir. Sistem ini bukan hanya membabitkan pasir tetapi turut melibatkan kuari di seluruh Selangor. Pemantauan dibuat melalui online dan kita dapat tahu secara terus serta membaca trend keluar masuk lori untuk menyemak sama ada data yang itu benar atau tidak. Selepas sistem ini dilaksanakan, banyak kes-kes ketirisan berkurangan dan hasil kutipan yang direkodkan itu ketara berbanding sebelum ini.

Apakah bentuk cabaran yang dihadapi KSSB sejak penubuhannya?

MOHAMED FARIZ: Cabarannya pelbagai. Dalam bidang ini kes ini ia melibatkan pihak berkepentingan iaitu Jabatan Teknikal, orang sekeliling dan persepsi masyarakat. Itu cabaran utama, bila tercetus persepsi orang ramai, ia akan beri impak kepada Jabatan Teknikal untuk memberi kelulusan permit.

Jadi proses kelulusan ambil masa. Sebab itu kita tambah baik dengan agresif semenjak 2015. Jika tidak kelulusan permit susah dan lambat.

Walaupun kita anak syarikat Negeri Selangor namun kita tak diberi layanan istimewa. Kita sama seperti syarikat-syarikat lain bila melibatkan kelulusan kerajaan. Ada yang lulus dan ada yang tidak. Sebab itu kita tubuhkan pasukan dan mewujudkan konsultan dalaman yang boleh beri penerangan secara terperinci kepada Jabatan-jabatan Teknikal. Kita juga banyak laksanakan program CSR terutama yang berdekatan dengan tapak operasi kami sejajar dengan tujuan asal penubuhan syarikat untuk merakyatkan ekonomi negeri di samping untuk memberi kefahaman kepada masyarakat berkaitan operasi kami.