Balu Mejar Zahir mohon henti spekulasi kematian suami

Iklan
Wan Azizah menenangkan Nour Shafinar ketika menziarahi ke kediaman Nour Shafinar di Kem Wardieburn hari ini.

KUALA LUMPUR -"Saya mohon jangan dibangkitkan benda yang bukan-bukan berkaitan pemergian arwah suami, kesian arwah yang telah tiada," kata balu Mejar Mohd Zahir Armaya.

Nour Shafinar Harun, 31, berkata, dia reda pemergian arwah suaminya yang maut dalam insiden ketika membuat aksi gimik pada Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Sabah, awal bulan ini.

Iklan
Iklan

"Saya reda dengan pemergian arwah. Saya juga tidak mahu individu luar mengaitkan apa-apa pasal arwah (berhubung kematiannya), sebab kita dalam badan ketenteraan ni, saya pun faham macam mana situasi begini boleh berlaku.

"Orang yang telah tiada, tetap tiada...untuk kebajikan saya selepas ini, memang pihak kerajaan akan mengambil alih dan akan dijaga oleh pihak tentera sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kem Wardieburn di sini hari ini.

Iklan

Nour Shafinar turut menzahirkan kesyukuran dan rasa terharu di atas kesudian Dr Wan Azizah meluangkan masa melawatnya dan anak-anak selain lega apabila kerajaan menghargai jasa arwah meskipun telah meninggal dunia.

Sementara itu katanya, anak-anaknya yang masih kecil menunjukkan perkembangan positif dan memahami bahawa ayah mereka telah tiada.

Iklan

"Anak-anak semua faham dan mereka reda. Memang saya sendiri sebagai ibu beritahu mereka bahawa ‘daddy’ dah tiada dan mengajar mereka untuk sentiasa mendoakan arwah.

"Saya turut memberitahu bahawa ‘daddy’ mereka pergi disebabkan kemalangan dalam latihan, jadi saya ajar anak-anak untuk terima dan reda dengan keadaan itu,” katanya.

Jelasnya, ada ketika anak-anak akan menatap gambar dan wajah ayah mereka sebagai pengubat rindu.

Bagaimanapun, Nour Shafinar tidak menghalang sekiranya anak-anaknya mahu mengikut jejak langkah bapa mereka untuk menjadi penembak satu hari nanti.

"Saya galakkan anak untuk teruskan perjuangan kami sebab saya pun bekas penembak tepat (tentera) juga. Anak yang sulung sudah menunjukkan sedikit minat dan anak yang kecil (bayi) pun agresif lebih sikit,” ujarnya sambil tersenyum.

Dia yang kini sedang hamil turut mengakui dalam proses menguruskan perpindahan mereka sekeluarga ke Perak memandangkan itu adalah hasrat terakhir arwah.

Mejar Mohd Zahir adalah Pegawai Tentera Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas merupakan penembak tepat, meninggalkan seorang balu bersama lima orang anak berumur antara enam bulan dan 10 tahun. - Bernama