PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengesahkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Perdana Menteri India, Narendra Modi tidak meminta penceramah, Dr Zakir Naik diekstradisi ketika pertemuan mereka di Rusia baru-baru ini.
Saifuddin berkata, beliau hadir dalam pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu di Vladivostok pada 5 September lalu.
Menurutnya, Dr Mahathir secara ringkas dan jujur menyatakan perkara yang berlaku semasa pertemuannya dengan Modi.
Saifuddin berkata demikian berikutan beberapa pihak meragui fakta dan kebenaran dimaklumkan Dr Mahathir kepada media pada Rabu lalu yang mengatakan bahawa Modi tiada membuat permintaan untuk Zakir diekstradisi.
Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Luar India S. Jaishankar bagaimanapun dilaporkan berkata, Modi telah membahas topik ekstradisi Zakir dengan Dr Mahathir.
Dalam pada itu, Saifuddin menggesa pihak-pihak berkenaan tidak membuat spekulasi dan dakwaan yang tidak berasas.
"Malaysia dan India mempunyai hubungan yang kuat dan komprehensif selama lebih dari enam dekad. Hubungan pelbagai fungsi yang kuat ini saling menguntungkan rakyat kedua-dua negara," katanya.
Saifuddin berkata, komen-komen itu bukan sahaja sinis dan mengelirukan tetapi juga jauh daripada kebenaran.
"Komen-komen itu, oleh itu, tidak sepatutnya diucapkan,” katanya.- Bernama