PERDANA MENTERI, Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin menjelaskan, kerajaan bercadang untuk menggunakan kamera badan kepada semua anggota polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen sebagai usaha mengekang kebocoran hasil negara.
Beliau berkata, langkah tersebut diambil berikutan negara kerugian sekitar RM3 hingga RM5 bilion setahun akibat masalah integriti pegawai dan kekurangan peralatan teknologi terkini sehingga mengalami kebocoran hasil di pintu keluar masuk negara.
Justeru, bagi mendapatkan pandangan dari sudut undang-undang berkaitan cadangan tersebut, Sinar Harian menemu ramah peguam, M Hafiz Zainol Abidin.
Adakah cadangan kerajaan ini dapat mengurangkan kes salah laku anggota penguat kuasa dan kebocoran hasil negara?
Dari satu sudut mungkin boleh mengurangkan kes berkaitan salah laku mana-mana penguat kuasa kerana setiap pergerakan dan tindakan mereka akan dipantau. Ia menjadi salah satu mekanisme pemantauan ketat terhadap mereka. Langkah ini akan lebih mendidik dan memastikan setiap tugasan pihak penguat kuasa mengikut prosedur operasi standard (SOP). Ini perkembangan yang positif.
Dengan cadangan ini, adakah ia memerlukan kepada penggubalan atau pindaan akta sedia ada?
Tidak perlu penggubalan atau pindaan, cukup sekadar kepada satu perintah, arahan tetap atau pekeliling kepada pihak penguat kuasa. Sekurang-sekurangnya ada tempoh percubaan dan tidak perlu ambil masa yang panjang untuk menunggu kepada pindaan undang-undang.
Sekiranya cadangan ini tidak diteruskan, apakah mekanisme lain bagi mengurangkan masalah rasuah dalam kalangan pihak berkuasa dan isu kebocoran hasil negara?
Untuk mekanisma yang lain, kita perlu melihat punca utama masalah rasuah dan isu kebocoran hasil negara. Kebanyakan pemberian rasuah adalah dalam bentuk wang tunai. Dengan kata mudah, orang mengambil rasuah kerana tidak mempunyai kewangan mencukupi.
Kalau kita lihat kes rasuah dalam kalangan penjawat awam dan penguat kuasa kebanyakannya bukanlah berpangkat tinggi.
Dari sudut undang-undang pembuktian menerusi rakaman video, adakah ia akan memudahkan proses pengadilan di mahkamah?
Rakaman video akan diterima di mahkamah kerana ia adalah documentary evidence. Ia sama seperti kes lain. Pembuktiannya lebih jelas dan tepat serta senang untuk dibuktikan.