Bekalan petrol, diesel seluruh Kuala Kangsar cukup

Iklan
Ahmad Puat memeriksa salah sebuah stesen minyak di Kuala Kangsar bagi memastikan bekalan bahan api di daerah itu mencukupi.

KUALA KANGSAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kuala Kangsar memberi jaminan bekalan bahan api petrol dan diesel mencukupi di daerah ini menjelang 1 Januari 2019.

Ketuanya, Ahmad Puat Abdul Hamid berkata, berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan KPDNHEP ke atas stesen minyak di sekitar Kuala Kangsar termasuk Sungai Siput serta Padang Rengas sejak 26 Disember lalu mendapati stok-stok yang ada masih mampu menampung keperluan pengguna di daerah ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, petrol dan diesel adalah Barang Kawalan Berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu sejak 21 Jun 1975.

"Justeru, setiap stesen minyak adalah pemegang lesen di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 perlu memastikan bekalan bahan api harian mencukupi untuk keperluan pengguna.

Iklan

"Sebagai pemegang lesen, stesen minyak tidak dibenarkan menutup operasinya dan juga pam tanpa kelulusan daripada KPDNHEP,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Ahmad Puat bekata, sekiranya terdapat stesen minyak yang tidak mematuhi peraturan dan syarat sebagai pemegang lesen, mereka boleh diambil tindakan.

Iklan

"Pengusaha yang melanggar peraturan boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, jika sabit kesalahan mereka boleh didenda RM1 juta atau penjara selama 3 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.