Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga Dr Md Farid

Iklan
163578

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia sekitar 6 pagi tadi di Hospital Pontian, Johor.

Baginda turut menzahirkan rasa simpati dan sedih terhadap pemergian Allahyarham Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu serta berharap seluruh keluarga tabah menghadapi suasana pilu dan dugaan daripada ALLAH SWT.

Iklan
Iklan

"Allahyarham berada di Istana Negara semalam (Jumaat) menunaikan solat Jumaat bersama Seri Paduka Baginda dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di surau Istana Negara sempena sambutan Hari Pahlawan yang disambut bulan ini.

"Allahyarham juga turut sembah takzim dan beramah mesra dengan baginda selepas menunaikan solat Istisqa menolak bencana jerebu yang dilaksanakan selepas solat Jumaat,” menurut kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Iklan

Baginda juga mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

Menurut Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd Solihan Badri, Md Farid, 42, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai dan merupakan Naib Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung. - Bernama

Iklan