KUALA LUMPUR - Dakwaan bahawa pembangunan Kampung Baru akan ‘mengeluarkan’ orang Melayu dari ibu kota adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kepentingan dan kedudukan orang Melayu menjadi teras kepada sesuatu usaha pembangunan Kampung Baru seperti yang diperuntukkan dalam Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu.
"Ia (akta) sendiri meletakkan bahawa kepentingan orang Melayu termasuk kepentingan sosial, ekonomi, warisan budaya dan nilai sejarah akan diberi keutamaan dalam setiap pembangunan yang hendak dilaksanakan.
"Ini bermakna, pembangunan Kampung Baru mengambil kira setiap aspek warisan dan sejarahnya dan ia akan kekal sebagai simbol kebanggaan orang Melayu di tengah ibu kota,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu tayangan video lima minit bagi merasmikan sesi town hall bersama pemilik dan pewaris Kampung Baru yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata, idea pembangunan semula Kampung Baru telah lama dibincangkan seawal tahun 80-an dan 90-an dan kerajaan menerima pelbagai cadangan serta maklum balas mengenainya.
"Ada yang sokong dan ada yang sebaliknya. Malangnya setelah berabad berlalu, Kampung Baru masih seperti mana tahun-tahun terdahulu. Ia pamer dua wajah yang bercanggah.
"Di satu pihak, ia sebagai simbol kebanggaan orang Melayu di ibu kota dan di satu pihak lain ketika Kuala Lumpur pesat membangun menjadi metropolis, masa seolah-olah terhenti di Kampung Baru dan keadaan yang tidak teratur dan kesesakan membuatkan ia bukan satu tempat selesa,” katanya.
Oleh itu, untuk mengatasi masalah tersebut, Dr Mahathir berkata, rombakan diperlukan untuk membangunkan semula Kampung Baru dan sekiranya tidak dilakukan, ia akan bertentangan dengan keadaan sekeliling yang menyebabkan Kampung Baru kelihatan ‘terhimpit’ di tengah kepesatan pembangunan dan terpinggir daripada arus pemodenan.
Beliau berkata, sebahagian besar orang Melayu sendiri tidak lagi memilih untuk tinggal di Kampung Baru dan lebih malang lagi, orang asing mula mendiami dan menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.
"Sudah tentu ramai orang Melayu berminat untuk tinggal di sini (nanti) dan secara langsung, ia tingkatkan nilai pasaran hartanah. Mereka yang telah tinggalkan (Kampung Baru) pun mungkin balik,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pembangunan Kampung Baru bukan omong kosong: Menteri
Kerajaan tawar beli tanah Kampung Baru RM850 satu kaki persegi
Sementara itu, kerajaan hari ini menawarkan untuk membeli tanah di Kampung Baru di sini dengan kadar RM850 bagi setiap satu kaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula kawasan tersebut.
Khalid berkata, tawaran tersebut merupakan kadar tertinggi dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja.
Lebih 3,000 pemilik dan pewaris Kampung Baru hadir pada sesi townhall itu yang dikendalikan Khalid. - Bernama