TANJONG KARANG - Pembangkang diingatkan tidak memanipulasi isu perobohan rumah penduduk di Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh bagi kepentingan politik semata-mata.
Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, isu perobohan itu sengaja ditimbulkan pembangkang bagi meraih sokongan rakyat.
Malah, beliau mendakwa, terdapat segelintir penduduk dihasut pembangkang hingga mereka tidak mahu memberi kerjasama kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Penanaman Pokok Nipah anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam di Jeti Nelayan Kampung Sungai Kajang di sini hari ini.
Loy Sian berkata, kerajaan negeri menasihatkan semua penduduk yang rumahnya dirobohkan berpindah ke rumah transit lebih selesa berbanding tinggal di dalam khemah ketika ini.
Katanya, rumah transit itu hanya terletak kira-kira empat kilometer dari penempatan terbabit.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri bukan sengaja merobohkan rumah penduduk sebaliknya ingin melebarkan Sungai Kedondong bagi menangani masalah banjir di Paya Jaras.
"Perkara ini tertangguh sejak empat tahun lalu dan setiap tahun kerajaan negeri terpaksa membayar ganti rugi kepada kontraktor," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Rumah dirobohkan mengikut prosedur, kata ADUN Paya Jaras