MACHANG – Seorang pemuda maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori di Jalan Kota Baharu – Kuala Krai di Merbau Chondong di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 6.35 pagi itu, mangsa, Muhammad Ilmam Mohd Ashri, 24, yang beralamat di Taman Guru, Machang maut di tempat kejadian.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu lori berhenti di persimpangan Taman Redha bagi memastikan tiada kenderaan dari mana-mana arah sebelum meneruskan perjalanan.
"Bagaimanapun motosikal yang dinaiki mangsa dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Krai merempuh belakang lori tersebut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemandu lori yang berusia 38 tahun tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.