JITRA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menghasilkan produk yang dapat memenuhi kriteria pasar raya berjenama antarabangsa.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKS perlu berusaha menampilkan produk yang unik dan menarik bagi melayakkan produk mereka mendapat tempat di pasar raya ternama.
Menurutnya, ini kerana pasar raya lazimnya mempunyai banyak cawangan yang akan membantu meningkatkan permintaan produk.
"Kadang-kadang ada usahawan yang mempunyai produk yang hebat, kualiti bagus tetapi dari segi pengeluaran produk dia terbantut jadi rugi lah," katanya ketika ditemui di pelancaran Fiesta Beli Barangan Buatan Malaysia peringkat negeri Kedah di Tasik Darulaman, di sini hari ini.
Menurutnya, kementerian juga akan membantu usahawan untuk memastikan hasrat berkenaan tercapai melalui polisi yang telah digariskan.
"Kita mempunyai polisi untuk memasarkan 1,800 produk tempatan di bawah kementerian. Ini termasuk membantu usahawan PKS membaiki kelemahan mereka sehingga berjaya memasuki pasar raya," katanya.
Sementara itu, Saifuddin berkata, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) tahun ini bertemakan #barangbaikbarangkita adalah inisiatif kerajaan bagi memupuk kesedaran rakyat Malaysia bagi mempertingkatkan penggunaan produk dan barangan tempatan yang kualitinya setaraf produk buatan luar negara.
"Dalam fiesta peringkat negeri Kedah ini seramai 80 usahawan dan pengusaha produk buatan tempatan termasuk 10 buah trak makanan sekitar negeri Kedah dan zon utara terlibat dalam menjayakan fiesta ini," katanya.